• Tahfiz: Remaja Dilepas Tanpa Bebas Pertuduhan Dadah

    Published: Wednesday, 3 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas tanpa membebaskan seorang remaja lelaki yang dituduh membunuh penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah daripada pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, September tahun lalu.

    Majistret Zilfinaz Abbas memutuskan demikian terhadap remaja berusia 16 tahun itu yang didakwa memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badan di tandas Pejabat Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada pukul 11.35 pagi, 16 September tahun lalu.

    Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.

    Bagaimanapun tertuduh itu tidak boleh dibebaskan kerana mempunyai satu lagi pertuduhan iaitu membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi, 14 September tahun lalu, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

    Hasil siasatan lanjut yang dijalankan mendapati terdapat unsur khianat dalam kejadian tersebut. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Tahfiz: Remaja Dilepas Tanpa Bebas Pertuduhan Dadah "