• Tabung Pendidikan YKN Bantu Anak Yatim, Gelandangan

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) memperluaskan lagi skop perkhidmatan sosialnya melalui inisiatif membantu anak yatim dan gelandangan berusia 18 tahun ke atas melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

    Serentak itu, Tabung Pendidikan YKN dilancarkan hari ini bagi mengumpul dana untuk membantu golongan itu, selain kanak-kanak golongan sasar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

    Menteri berkenaan, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata pihaknya sentiasa berhasrat membantu golongan anak kebajikan itu, namun akta hanya membenarkan mereka berusia 18 tahun ke bawah saja di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    "Melalui inisiatif ini, mereka akan dibantu dari segi pendidikan, kebajikan dan kerjaya masa depan. Projek rintis pertama akan dilaksanakan Mac ini membabitkan lima anak gelandangan di ibu negara dan anak yatim di Kuching, Sarawak.

    "Hasil Tabung Pendidikan ini nanti juga akan membantu membiayai pendidikan anak rakan jalanan (gelandangan) yang tercicir dalam pendidikan, anak yatim piatu, miskin serta dari keluarga terbiar dan bermasalah untuk ke sekolah berasrama penuh dan tahfiz," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Anugerah 'Friends of YKN 2017' dan melancarkan Tabung Pendidikan YKN di sini, hari ini.

    Sementara itu, Rohani berkata, sebanyak lima lagi Anjung Kasih yang memberi penginapan sementara kepada keluarga yang menunggu pesakit di hospital dan pusat rawatan dialisis akan dibuka di hospital terpilih, tambahan kepada lima kemudahan sedia ada.

    Pada majlis itu, anugerah kategori korporat diterima Tenaga Nasional Berhad (TNB), Universiti Malaysia Sabah (institusi pengajian tinggi), Pertiwi Soup Kitchen dan Kechara Soup Kitchen Society (badan bukan kerajaan) dan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi anugerah khas.- BH

    Subjects:

  • No Comment to " Tabung Pendidikan YKN Bantu Anak Yatim, Gelandangan "