• Syed Saddiq Dakwa PPBM Tidak Akan Bertahan Lama

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjangkakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM/BERSATU) cuma akan bertahan sebagai parti Melayu dan Bumiputra sehingga selepas Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan.

    Katanya, tempoh paling PPBM bertahan adalah 10 tahun selepas membentuk kerajaan ekoran beliau tidak yakin parti mampu bertahan sebagai sebuah parti berasaskan sebuah kaum semata-mata.

    "Parti berasaskan sebuah kaum sahaja tidak akan bertahan lama. Sepertimana saya katakan secara terbuka kepada media dan kepada pemimpin tertinggi parti, saya jangkakan setelah kita mengambil alih Putrajaya, dan melakukan reformasi institusi diseluruh media dan memastikan pendidikan tidak lagi berasaskan kaum, saya rasa dalam tempoh 10 tahun atau dua penggal, BERSATU dan kemungkinan besar UMNO akan membuka kepada semua kaum," katanya dalam sesi temubual bersama Radio BFM, hari ini.

    Saddiq berkata demikian apabila ditanyakan soalan mengapa beliau memilih untuk menyertai parti politik berasaskan sebuah kaum berbanding parti berbilang bangsa didalam Pakatan harapan.

    Kata Saddiq, bukti PPBM sudah bersedia untuk menjadi sebuah parti pelbagai bangsa adalah diperingkat pemuda parti dimana Saddiq mendakwa beliau secara peribadi telah melantik ahli bukan bumiputra menjadi exco pemuda parti.

    "Dan pada masa sama, perlembagaan parti membenarkan perubahan berlaku dimana kamu membenarkan ahli bersekutu untuk mendaftar. Ianya tidak sempurna tetapi ianya satu jalan untuk memastikan perubahan berlaku," ujarnya.

    Temubual bicara tersebut turut menampilkan Setiausaha Eksekutif Pemuda BN, Zaidel Baharuddin yang menyatakan kebimbangannya terhadap ahli-ahli PPBM ekoran pengakuan Syed Saddiq bahawa parti berkenaan tidak akan bertahan lama.

    "Jika saya ahli BERSATU, saya amat bimbang dengan kenyataan Saddiq. Dia katakan sendiri bahawa BERSATU tidak akan bertahan lama. Dia sendiri kata parti berasaskan kaum tidak akan bertahan lama," ujarya.

    Menjawab soalan sama, Zaidel menjelaskan, Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti mega ingin memastikan setiap komuniti dan etnik di seluruh negara terjaga termasuk masyarakat minoriti.

    "Kami memerlukan wakil kaum minoriti. BN sebagai sebuah parti besar amat sukar untuk memberi tumpuan kepada komuniti minoriti. Terutama bagi parti-parti kecil seperti di Sabah dan Sarawak.

    "Sebagai contoh, parti minoriti di Sabah, mereka cuma bertanding di Sabah. Jika hanya satu parti besar, suara minoriti akan tenggelam," ujarnya.

    Tambah Zaidel, Saddiq sepertimana pemimpin belia lain lantang menyuarakan pandangan mahukan keadilan dan hak kesamarataan namun apabila tiba isu pragmatis politik, merekalah yang melaksanakan pentadbiran parti sebuah kaum sahaja.

    PPBM ditubuhkan pada 2016 terbuka untuk semua rakyat Malaysia, namun, parti teraju Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti itu mengehadkan hak mengundi hanya eksklusif kepada masyarakat Melayu dan Bumiputra sahaja.

    Katanya, masyarakat bukan Bumiputra boleh menjadi ahli bersekutu PPBM dan dan boleh dilantik untuk mengganggotai mana-mana jawatan parti diatas budi bicara pemimpin peringkat tertinggi.

    Dalam perkembangan berkaitan, Saddiq menyatakan beliau mungkin akan bertanding pada PRU14 akan datang di Johor, tetapi keputusan muktamad dan lokasi bergantung kepada Muhyiddin.

    "Segalanya bergantung bila Najib mahu membubarkan parlimen, saya masih menanti untuk menghadiri pengajian di (Universiti) Oxford pada September. Jika beliau memansuhkan pada bulan Ogos mungkin masa yang buruk bagi saya.

    "Jika ianya sebelum itu, kemungkinan besar sebelum pembebasan Anwar, saya mungkin akan bertanding di Johor. Samaada ianya muktamad atau dimana lokasi saya bertanding, segalanya bergantung kepada (Presiden) Tan Sri Muhyiddin Yassin," kata Saddiq. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Syed Saddiq Dakwa PPBM Tidak Akan Bertahan Lama "