• Suri Rumah Didakwa Tipu Pelaburan Emas

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+

    PETALING JAYA: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan menipu berhubung pelaburan emas berjumlah RM128,860, Jun tahun lalu.

    Rahimah Mohammad, 49, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Rahimah didakwa menipu ahli perniagaan, Suhairi Nordin, 53, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai tertuduh menjalankan pelaburan emas bernama Let's Duit, yang tidak wujud.

    Tindakan itu mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM128,860 kepada tertuduh untuk melakukan pelaburan emas di lobi Hotel PJ Hilton, di sini, jam 11.06 malam, pada 5 Jun tahun lalu.

    Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, menawarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan ke mahkamah.

    Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Esther Tan, memohon dikenakan jaminan rendah dengan alasan tidak bekerja serta mempunyai tiga anak.

    Tertuduh juga dikatakan menghidap penyakit asma yang teruk, selain suaminya mempunyai sakit tulang belakang.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Mac ini untuk sebutan semula kes.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Suri Rumah Didakwa Tipu Pelaburan Emas "