• Status FB Penyelamat 4 Pemborong Ikan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+


    Status di Facebook (FB) menjadi penyelamat kepada empat pemborong ikan yang berdepan kerosakan enjin bot di kedudukan 18 batu nautika dari muara Sungai Terengganu, Kuala Terengganu, sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

    Difahamkan, ketika kejadian, jurumudi Umar Mamat, 41, Che Umar Mamat, 49, warganegara Thailand dan Besar Sidik, 58, serta Ahmad Sufian Salleh, 28, dari Kuala Terengganu dikatakan turun ke laut untuk memborong ikan dari nelayan jam 4.30 pagi.

    Timbalan Pengarah Operasi Wilayah Maritim Timur Kepten Maritim V Panir Selvan berkata, kejadian berlaku jam 9.30 pagi apabila enjin bot terbabit secara tiba-tiba mati sebelum mengeluarkan asap tebal.

    "Selepas berusaha menghidupkan enjin bot gagal, seorang daripada mereka cuba menghubungi abangnya di darat bagi mendapatkan bantuan.

    "Usaha mendapatkan bantuan gagal kerana telefon mudah alih yang dibawanya tidak berfungsi berikutan sukar mendapat talian telefon di lokasi terbabit," katanya.

    Beliau berkata, mangsa bernasib baik apabila bot berkenaan dihanyutkan menghala ke pantai sebelum memuat naik kejadian menimpa mereka di FB.

    "Usaha mangsa berhasil apabila keluarga yang mendapat tahu kejadian itu segera menghubungi Pusat Operasi Maritim DM 9 Negeri Terengganu bagi mendapatkan bantuan.

    "Jurumudi yang mempunyai pengalaman di laut sejak berusia belasan tahun itu mengakui kejadian enjin rosak ketika di laut itu adalah pengalaman pertama dilaluinya," katanya.

    Panir berkata, sebaik menerima maklumat kejadian jam 11.45 pagi, pihaknya terus menghubungi kapal maritim yang sedang menjalankan rondaan di laut ke lokasi bagi menghulurkan bantuan.

    "Bot berkenaan berjaya dikesan kira-kira jam 3.40 petang dalam keadaan selamat dan membantu menunda bot berkenaan ke Jeti APMM DM 9 Negeri Terengganu dan tiba kira-kira jam 7.30 malam ini," katanya.

    Panir meminta orang ramai khususnya nelayan yang berdepan masalah di laut segera menghubungi terus melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi (PUSOP) DM9 Negeri Terengganu (09-6224357).-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Status FB Penyelamat 4 Pemborong Ikan "