• SPRM kesal kerajaan Selangor masih enggan tandatangani ikrar bebas rasuah

    Published: Thursday, 25 January 2018
    A- A+
    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kesal dengan kerajaan negeri Selangor yang masih belum memberi sebarang kata putus untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sehingga kini biarpun kesemua negeri lain telah melakukannya pada tahun lepas.

    Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Siasatan SPRM yang merupakan bekas Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata walaupun pihaknya telah melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, namun tiada maklum balas lanjut daripada pihak kerajaan negeri terhadap usaha suruhanjaya untuk membanteras gejala rasuah.

    “Kita juga telah berurusan dengan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor dan Unit Integriti SUK namun belum diberi jawapan dan tarikh bagi menteri besar dan kerajaan negeri untuk melafazkan serta menandatangani IBR.

    ” Saya tidak tahu apakah alasan kerajaan negeri untuk masih tidak menyertai IBR sedangkan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kelantan telah menandatangani ikrar itu dengan menambah langkah-langkah integriti demi menunjukkan sokongan mereka dalam memerangi rasuah, ” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Beliau ditemui selepas menyerahkan tugasnya kepada Pengarah SPRM Selangor yang baharu iaitu Datuk Alias Salim sambil disaksikan Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani dalam satu majlis di sini.

    Wan Ramli merupakan Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Siasatan SPRM berkuat kuasa 16 Jan lepas setelah berkhidmat selama 13 bulan di SPRM cawangan Selangor.

    Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang tahun lepas, sebanyak 449 maklumat berkaitan rasuah diterima SPRM Selangor yang menghasilkan 82 tangkapan berbanding 315 maklumat pada 2016 dengan 79 tangkapan.

    Beliau berkata sebanyak 17 individu juga telah dituduh di mahkamah pada tahun lepas berbanding 12 orang pada 2016.

    “Peningkatan sebanyak 38 peratus dalam penyaluran maklumat oleh masyarakat kepada SPRM menunjukkan hasil turun padang kita memberi kefahaman kepada orang awam tentang gejala tidak bermoral dan salah guna kuasa, ” katanya.

    Sementara itu, Alias pula berkata pihaknya akan meneruskan kecemerlangan SPRM Selangor dalam membendung kegiatan rasuah termasuk usaha untuk memastikan kerajaan negeri menandatangani IBR.

    Beliau berkata setakat ini, sebanyak 105 jabatan Kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi lain telah menyertai IBR namun 66 lagi dikesan masih belum berbuat demikian.

    “Oleh itu pihak kami sedang berusaha mengadakan kerjasama (IBR) dalam usaha membanteras rasuah,” katanya. — BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " SPRM kesal kerajaan Selangor masih enggan tandatangani ikrar bebas rasuah "