• SOP bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan

    Published: Thursday, 25 January 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR 25 Jan. - Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh hotel berkaitan polisi memakai tudung bagi pekerja beragama Islam adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

    Malah, polisi sedemikian turut mendiskriminasi hak pekerja untuk mempraktikkan amalan dalam agama serta menafikan kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

    Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP. Mamal berkata, tindakan sedemikian adalah salah dan polisi hotel mestilah tidak melebihi kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

    Beliau berkata, pengusaha-pengusaha hotel bertaraf lima bintang ke atas begitu megah dengan SOP mereka yang dikatakan diamal diperingkat antarabangsa.

    “Dalam Perkara 11 menyatakan tentang kebebasan beragama serta mengamalkan agamanya termasuklah menutup aurat (bertudung) seperti yang diwajibkan dalam Islam.

    “Kita tidak tahu motif dalaman pihak hotel. Adakah dengan bertudung, perniagaan mereka boleh terjejas dan pekerja perlu membuka tudung untuk menarik lebih ramai pelanggan?

    “Saya ingin tegaskan, apabila pekerja ditawarkan bekerja di hotel mereka akan dapat kontrak dan surat tawaran, tetapi tidak dinyatakan bahawa pekerja tidak boleh bertudung. Itu pun sudah jelas,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

    Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Exco Hal Ehwal Wanita Persatuan Kebajikan Serantau Muslim, Nurul Suhadah Shuib, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti, Dr. Rafidah Hanim Mokhtar, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan dan Setiausaha Kewangan Kongres Kesatuan Sekerja, Mohd. Effendy Abdul Ghani.

    Tambah Mohamad Shafie, beliau berasa kesal dengan pihak kementerian kerana mereka menyatakan tidak menerima sebarang aduan daripada pihak terlibat berkaitan isu larangan bertudung itu.

    Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Samuel Cheah Swee Hee menegaskan larangan itu diamalkan di rangkaian hotel antarabangsa yang menggunakan prosedur operasi standard yang sama di seluruh dunia.

    Isu larangan itu turut mendapat perhatian Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang menyeru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menarik balik sijil halal hotel-hotel terlibat.

    Beliau menyifatkan, isu larangan bertudung oleh pengusaha hotel bukan sahaja satu bentuk diskriminasi tetapi juga satu arahan yang tidak ‘masuk akal’.

    “Kita minta Jakim tarik balik sijil halal hotel-hotel yang tidak mahu menghormati orang Islam.

    “Biarlah mereka hendak teruskan perniagaan, tetapi no more sijil halal maknanya kita pun tak akan pergi dan tiada lagi bisnes dengan agensi atau jabatan kerajaan.

    “Isu ini bukan berkaitan dengan agama sahaja tetapi melibatkan hak asasi manusia untuk semua kaum. Mereka mahu sijil halal tetapi dalam masa sama menekan hak asasi semua orang,” tegasnya dalam sidang akhbar yang sama.

    Seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada 13 Januari lalu, terdapat 74 buah hotel bertaraf empat dan lima bintang yang melarang pekerjanya bertudung serta 13 buah hotel mempunyai polisi bertulis tentang larangan itu.

    Terdahulu, Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut menegaskan isu larangan bertudung itu tidak sepatutnya timbul memandangkan Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Islam sebagai agama persekutuan dan rakyat bebas mengamalkan agama masing-masing. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " SOP bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan "