• Siti Aisyah Dibayar RM400 Lakukan ‘Usikan’ – Saksi

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+


    SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Siti Aisyah, wanita Indonesia yang dituduh membunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, telah dibayar RM400 oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai James atau Ri Ji-u untuk melakonkan tiga babak ‘usikan’ di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

    Babak ‘usikan’ itu, yang dilakukan terhadap tiga individu, dirakamkan di kawasan kolam air pancut di pintu masuk pusat beli-belah itu pada 5 Jan tahun lepas, dengan James memberitahu Siti Aisyah bahawa rakaman tu akan ditayangkan di YouTube.

    Perkara itu dicadangkan peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah, 26, semasa menyoal balas Pegawai Penyiasat, ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, 40, pada hari ke-28 perbicaraan kes pembunuhan Kim Chol.

    Siti Aisyah dan wanita Vietnam, Doan Thi Huong, 29, didakwa membunuh Kim Chol bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Sepang pada 13 Februari lepas.

    Menjawab soalan Gooi, saksi kesembilan itu bersetuju bahawa Siti Aisyah dibayar RM400 untuk melakonkan babak ‘usikan’ itu tetapi saksi itu menjawab ‘tidak tahu’ lokasi dan masa lakonan itu berlaku.

    Wan Azirul Nizam juga bersetuju bahawa Siti Aisyah membayar RM100 kepada pemandu teksi bernama Kamaruddin Masiod atau dikenali sebagai John iaitu individu yang memperkenal tertuduh kepada James sebelum dia dihantar ke Hotel Flamingo, Ampang dekat sini, selepas aksi itu dirakam di pusat beli-belah berkenaan.

    Beliau juga bersetuju dengan cadangan Gooi bahawa Kamaruddin menghampiri Siti Aisyah buat pertama kalinya di Beach Club, Kuala Lumpur kira-kira 3.30 pagi semasa mengambil penumpang, namun beliau tidak dapat memastikan tarikhnya.

    Namun, saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan Gooi bahawa Kamaruddin pernah menanyakan Siti Aisyah sama ada dia berminat untuk berlakon dalam program ‘usikan’ yang akan ditayangkan di YouTube dan ‘bos’ Kamaruddin adalah orang Jepun yang sedang mencari pelakon.

    Gooi: Saya menyatakan, Siti Aisyah tidak kenal Kamaruddin sebelum pertemuan pertama itu?

    Wan Azirul Nizam: “Ya, setuju.”

    Semasa menjawab soalan Gooi, Wan Azirul Nizam berkata beliau tidak ingat sama ada nombor telefon James disimpan sebagai ‘Jepun’ manakala nombor telefon Kamaruddin disimpan sebagai ‘John’ di dalam telefon bimbit Siti Asiyah.

    Mengenai hotel yang diinapi selama lima hari oleh Kim Chol di Langkawi sebelum dibunuh di klia2, Wan Azirul Nizam berkata Kim Chol menginap di Hotel Westin namun, tiada sebarang percakapan diambil daripada mana-mana pihak di Langkawi.

    Ketika menjawab soalan Gooi, Wan Azirul Nizam menyatakan bahawa kebocoran rakaman video berkaitan insiden pembunuhan Kim Chol selepas beberapa hari kejadian itu berlaku tiada kaitan dengannya kerana ia disimpan dalam keadaan baik.

    Katanya beliau mempunyai tanggungjawab sepenuhnya terhadap rakaman berkenaan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung pada 8 Februari ini. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Siti Aisyah Dibayar RM400 Lakukan ‘Usikan’ – Saksi "