• Singapura Lancar Sistem Parkir Basikal Bawah Tanah

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Saturday, 6 January 2018
    A- A+


    SINGAPURA – Para penunggang basikal di kawasan Woodlands kini mempunyai pilihan selamat dan terlindung daripada masalah hujan atau jenayah kecurian untuk meletak basikal mereka.

    Menurut laporan media tempatan, dipanggil SecureMyBike, kemudahan parkir basikal awam itu dibina khas di bawah tanah bersebelahan stesen MRT Admiralty, dengan memanfaatkan sistem automatik secara sepenuhnya.

    Pelaksanaan sistem canggih yang kali pertama seumpamanya di Singapura itu sebenarnya sedang dicuba di kawasan Kampung Admiralty – sebuah kompleks perumahan awam bersepadu dan terletak di utara republik berkenaan.

    Untuk menggunakannya, para pemilik basikal hanya perlu membuka akaun di salah satu kios pendaftaran bantu diri sebelum mereka menerima nombor pin. Fasiliti ini boleh menempatkan lebih 500 buah basikal dalam satu masa.

    Pengguna kenderaan itu boleh memilih antara tiga kios yang kelihatan seumpama ruang lif untuk meletak dan mengambil semula basikal. Setiap kios ini sedalam 10 meter dan mempunyai tujuh aras ruang penyimpanan.

    Kos pembinaannya menelan belanja S$4.7 juta (RM14.2 juta). Bagi menggalakkan ramai penduduk untuk mencuba kemudahan baharu ini, perkhidmatan SecureMyBike ditawarkan secara percuma sehingga akhir bulan ini.

    Mulai 1 Februari depan sehingga 30 April, mereka boleh memilih untuk membayar yuran bulanan S$22 (RM66) bagi penggunaan tanpa had masa atau hanya sebanyak 25 cent (RM0.75) untuk parkir basikal selama satu jam.

    Mulai 1 Mei pula, yuran bulanannya ditetapkan pada kadar S$48 (RM145) atau 45 cent (RM1.40) bagi setiap jam, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang dipetik stesen penyiaran milik pemerintah Channel NewsAsia.

    Kemudahan parkir baharu bawah tanah itu turut melengkapi fasiliti tempat letak basikal yang memang sedia ada di permukaan bagi menggalakkan kegiatan berbasikal dalam kalangan penduduk untuk perjalanan jarak dekat.

    LTA berharap menerusi sistem canggih itu, masalah basikal yang sengaja diletakkan merata-rata oleh pemilik tidak bertanggungjawab hingga mencacatkan pemandangan kawasan akan dapat ditangani. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Singapura Lancar Sistem Parkir Basikal Bawah Tanah "