• Sinar Baharu Bagi Lebih 2,000 Pelajar Di 13 Sekolah

    Reporter: M. H. W.
    Published: Saturday, 13 January 2018
    A- A+

    KUCHING - Tahun akademik baharu membawa sinar terang kepada lebih 2,000 pelajar di 13 sekolah rendah dan menengah apabila sekolah mereka dihubungkan ke grid di bawah Fasa Satu Inisiatif Bekalan Elekterik Sekolah Luar Bandar, yang sebelum ini bergantung kepada penjana kuasa elektrik menggunakan tenaga diesel.

    Lapan daripada sekolah itu menyediakan kemudahan asrama.

    Sekolah pertama yang termasuk di bawah Fasa Satu inisiatif tersebut ialah SK Salak di Kuching; 10 sekolah di Kanowit iaitu SK Sungai Tuah, SK Nanga Jih, SK Nanga Dap, SK Ulu Bawan, SK Ng Balingiau, SK Nanga Tada, SK Nanga Pedai, SJK (C) Shing Kok, SJK (C) Nam Hua dan SMK Nanga DAP; SK Metalun di Skim Penempatan Semula Murum di daerah Belaga dan SMK Tinjar di Baram.

    "Berikutan mempunyai akses kepada bekalan elektrik 24 jam yang terjamin dan boleh diharap, sekolah berkenaan menambah kipas angin, lampu dan peralatan elektrik lain untuk mewujudkan suasana pembelajaran dan bekerja lebih kondusif untuk staf dan pelajarnya," kata Menteri Kemudahan Awam Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

    Beliau berkata kanak-kanak di sekolah luar bandar memang sepatutnya mendapat akses kepada bekalan elektrik 24 jam sama seperti yang dinikmati rakan mereka di bandar.

    Katanya, inisiatif itu bertujuan menyambung grid atau membekalkan sistem solar boleh diperbaharui kepada 369 sekolah luar bandar dalam pelbagai fasa hasil kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemudahan Awam Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kerja Raya Negeri dan Sarawak Energy.

    "RM9 juta yang dilabur di bawah Fasa Satu itu merupakan pelaburan kukuh dan sangat berbaloi bagi prospek masa depan pelajar luar bandar, manakala fasa berikutnya akan meliputi sekolah lain pula di negeri ini, yang masih bergantung kepada penjana kuasa elektrik menggunakan diesel yang bising dan mahal," kata Rundi.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Sharbini Suhaili berkata matlamat Sarawak Energy adalah untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menyediakan akses lebih meluas terhadap tenaga elektrik kepada semua sekolah luar bandar di negeri ini bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

    Selain membekalkan tenaga elektrik kepada sekolah luar bandar, katanya, Sarawak Energy juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada 60 klinik kesihatan luar bandar secara berperingkat.

    Beliau berkata inisiatif ini menjadi keutamaan dalam usaha membekalkan tenaga elektrik ke kawasan luar bandar yang dilaksanakan secara berterusan untuk manfaat penduduk bagi membantu Sarawak mencapai sasaran membekalkan tenaga elekterik ke seluruh negeri menjelang 2025.

    "Pelaksanaan inisiatif ini secara serentak akan mempercepatkan rancangan bekalan tenaga elektrik kerajaan, menjadi pemangkin bagi pembangunan luar bandar untuk merapatkan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar.

    "Ia juga bertujuan membolehkan agenda ekonomi digital negeri ini mencapai masyarakat luar bandar bagi membantu merealisasikan wawasan Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang 2030," kata beliau.

    Bekalan elektrik ke luar bandar di Malaysia mula menjadi semakin rancak pada 2009 apabila ia dijadikan Bidang Keberhasilan Utama Negara oleh kerajaan persekutuan.- BERNAMA
  • No Comment to " Sinar Baharu Bagi Lebih 2,000 Pelajar Di 13 Sekolah "