• SICC Pacu Ekonomi Sabah

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+


    KOTA KINABALU: Usaha Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dalam merancakkan pembangunan negeri diteruskan melalui pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang terletak di Teluk Likas, Kota Kinabalu.

    Sebanyak RM250 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan kepada KYS bagi membina pusat konvensyen berkenaan di kawasan seluas enam hektar dan dijangka siap pada Oktober ini.

    Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, kerajaan negeri berharap pusat konvensyen itu mampu melakar kejayaan lebih besar buat negeri ini khususnya sebagai lokasi penganjuran mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).

    “Saya berpuas hati dengan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan SICC setakat ini dan berharap semua pihak berkaitan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan pembinaan SICC berjalan lancar.

    “Bagi kerajaan negeri, sudah tiba masanya Sabah memiliki pusat konvensyen yang mampu menjadi venue MICE kerana kita memang kekurangan tempat untuk mengadakan persidangan dan pameran antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di tapak SICC di Teluk Likas, di sini hari ini.

    Yang hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad.

    Dengan kemudahan merangkumi lebih daripada empat peringkat dengan keluasan 77,800 meter persegi, SICC dilengkapi dengan lebih daripada 1,000 ruang letak kereta, lobi pintu masuk utama, ruang pameran dan dewan percuma, sebanyak 9 bilik mesyuarat dan dewan seni persembahan dengan tempat duduk dua tingkat yang boleh memuatkan kira-kira 1,200 penonton serta kafeteria. – UTUSAN ONLINE





    Subjects:

  • No Comment to " SICC Pacu Ekonomi Sabah "