• Set Syiling Mewah Sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang Dipertonton

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    SEOUL -- Satu koleksi syiling mewah edisi terhad sempena penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018 telah dipertontonkan pada Rabu, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

    Pakej itu terdiri daripada 22 jenis syiling -- dengan nilai antara 1,000 won (US$0.94) dan 30,000 won -- serta wang kertas edisi khas 2,000 won, kata Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018 (POCOG).

    Ia dijual pada harga 11 juta won dan akan dibuka untuk pra-pesanan pada Isnin depan.

    Set itu dihasilkan dengan gabungan dua kumpulan wang syiling dan wang kertas peringatan PyeongChang yang dikeluarkan sejak September 2016.

    Semua item mempunyai lambang dan ukiran semua disiplin Sukan Olimpik Musim Sejuk seperti lompat ski, luncur laluan pendek serta luge.

    Pembeli boleh meminta agar mesej khas diukir pada syiling peringatan itu.

    Juga sebagai bonus, nama pembeli akan terukir di sebuah muzium yang bakal dibina di Wilayah Gangwon bagi memperingati penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk pertama di Korea Selatan.

    Jawatankuasa itu berkata ia merancang untuk menjual sejumlah 888 set syiling tersebut, yang mengguna pakai tema lapan dalam projek peringatan terbaharunya.

    Ia bertujuan menonjol serta meraikan penganjuran Sukan Olimpik Musim Panas Seoul 1988 dan Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018.

    Penyanyi Korea, Insooni, duta promosi bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk, turut hadir pada majlis mempertonton set syiling dan wang kertas peringatan itu di bangunan Poongsan Hwadong, yang merupakan pengedar dan peniaga set tersebut, di pusat bandar Seoul.

    Penyanyi itu dinobat sebagai pelanggan kehormat "No 1."

    Presiden POCOG Lee Hee-beom berkata masih banyak yang perlu dilakukan oleh jawatankuasa itu sebagai persediaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 yang bakal berlangsung kira-kira sebulan lagi.

    "Kami akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kejayaan penganjuran (Sukan Olimpik)," kata Lee.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Set Syiling Mewah Sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang Dipertonton "