• Sepatutnya Tiada Masalah - Misbun

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 24 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek berharap skuad negara tidak berdepan masalah muncul juara kumpulan selepas undian Kejohanan Berpasukan Asia yang turut menjadi medan kelayakan Piala Thomas, hari ini.

    Harapan Misbun itu tidak sukar ditafsirkan kerana kejayaan menjuarai kumpulan mampu mengelak mereka bertemu pasukan pilihan seperti China, juara bertahan, Indonesia dan Jepun di suku akhir.

    "Saya harap begitu (juara kumpulan), yang penting bagaimana prestasi kita di sana. Kita mahu menonjolkan prestasi yang baik supaya mendapat keputusan terbaik. Selepas mendapat undian seperti ini, kita perlu bersedia ke arah itu," katanya.

    Dalam undian yang dijalankan di Stadium Sultan Abdul Halim Alor Setar, skuad negara yang akan diketuai jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei diundi dalam Kumpulan C bersama pasukan pilihan ketiga, Taiwan, Thailand dan Myanmar.

    Bagaimanapun, jurulatih itu menasihatkan pemain supaya tidak mengambil mudah undian berkenaan, apatah lagi, Thailand dan Taiwan sudah menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun ini.

    "Namun, saya tidak mahu pemain mengambil ringan. Kita betul-betul ambil peluang ini untuk menjuarai kumpulan," katanya.

    Mengenai pertemuan dengan Thailand, Misbun berkata lawan itu tidak akan memberi laluan mudah walaupun slot mereka di pusingan akhir Piala Thomas sudah terjamin selaku tuan rumah.

    "Paling penting strategi yang kita gunakan berdepan mereka. Kita perlu tahu bagaimana untuk menang dan mengalahkan mereka," katanya.

    Untuk layak automatik ke pusingan akhir Piala Thomas, skuad negara perlu berada dalam kelompok empat pasukan terbaik di Alor Setar.-BHONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Sepatutnya Tiada Masalah - Misbun "