• Seniman Cari Jalan Elak Kebanjiran Artis Indonesia

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Buat julung kali, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengadakan kunjungan hormat ke Jakarta, Indonesia bagi menjalinkan kerjasama khusus dalam bidang industri kreatif di samping memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur-Jakarta pada 5 hingga 7 Januari lalu.

    Menerusi satu kenyataan akhbar, Presidennya, Zed Zaidi menjelaskan, pihaknya telah bertemu dengan beberapa organisasi di negara tersebut bagi mencari solusi untuk mengatasi masalah lambakan artis Indonesia di Malaysia.

    “Seniman bakal menghadiri perbincangan dengan wakil daripada beberapa organisasi seperti Persatuan Karyawan dan Televisi Indonesia, Demi Film Indonesia, Persatuan Produser Filem Indonesia termasuk dua buah stesen televisyen utama di sana iaitu Indosiar dan Net TV.

    “Pihak kami juga membentangkan satu pelan tindakan sebagai langkah untuk memperhalusi masalah tersebut di samping memperkenalkan akta dan perundangan, polisi dan dasar, dokumentasi, permit, kerjasama produksi, pelaburan dan ekosistem industri kreatif.

    “Pada masa yang sama, Seniman juga berusaha untuk mengukuhkan dasar-dasar kerajaan kedua-dua negara untuk menjadikan industri kreatif sebagai hub atau pusat sehenti di rantau ini,” katanya.

    Selain itu, menurut Zed, Seniman turut berkeinginan untuk mewujudkan kerjasama strategik dua hala antara Kuala Lumpur-Jakarta melalui platform yang dipanggil “Cultural Diplomacy” dan yakin akan mencapai matlamatnya dalam masa terdekat.

    Justeru, Zed berharap idea Seniman disambut baik oleh pengkarya dari negara seberang untuk melancarkan serta mengembangkan perjalanan industri kreatif Malaysia-Indonesia.

    “Tidak ketinggalan, kami memperkenalkan syarat baharu untuk dipatuhi penggiat seni dari Indonesia agar menjadi menjadi ahli bersekutu Seniman ketika ingin menjalankan sebarang aktiviti seni di Malaysia.

    “Mereka juga harus mematuhi undang-undang mahupun akta di sini serta wajib mempunyai permit yang sah sebelum ketibaan mereka di Malaysia.

    “Seniman akan berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan mereka dengan agensi kerajaan berkaitan,” ujarnya.

    Di kesempatan tersebut, Seniman merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan yang diwakili oleh Puan Marlina Yulianty.- UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Seniman Cari Jalan Elak Kebanjiran Artis Indonesia "