• Sembunyi Dalam Bakau Elak Ditahan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 23 January 2018
    A- A+


    SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan sembilan warga Filipina termasuk seorang wanita yang menyusup masuk secara haram ke negeri ini menerusi perairan Sungai Luboh, Batu 10, dekat sini, malam tadi.

    Semua warga asing berusia 18 hingga 55 tahun itu ditahan pada jam 10.10 malam oleh sepasukan sembilan anggota PPM yang membuat intipan sejurus menerima maklumat berkaitan penyeludupan.

    Dalam kejadian itu, anggota PPM mengesan dua bot laju yang mencurigakan bergerak dari kuala sungai dan merapat ke jeti Sungai Buloh, sebelum sebuah bot memecut selepas menyedari kehadiran polis dan gagal dikesan.

    Hasil pemeriksaan di jeti terbabit menemui sebuah lagi bot laju bersama dua migran yang ditinggalkan tekong laut.

    Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz, berkata pemeriksaan di dalam hutan bakau berhampiran turut menemui tujuh migran bersembunyi.

    Katanya, semua migran tidak mempunyai pengenalan diri yang sah dan mengakui secara lisan berasal dari Basilan, Filipina serta baru mendarat di kawasan itu.

    "Semua suspek dan rampasan bot dianggarkan bernilai RM35,000 dibawa ke Markas Operasi PPM untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963.-BHONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Sembunyi Dalam Bakau Elak Ditahan "