• Sembilan Militan Ceroboh Lahad Datu Ke Tali Gantung

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan sebentar tadi mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atas sembilan warga Filipina kerana kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, lima tahun lepas.

    Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebulat suara membuat keputusan itu selepas menolak rayuan penjara seumur hayat dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum yang menjatuhkan hukuman gantung.

    Mereka adalah Atik Hussin Abu Bakar, 47; Basad H. Manuel, 43; Ismail Yasin, 78; Virgilio Nemar Patulada, 58; Salib Akhmad Emali, 65; Al Wazir Osman, 63; Tani Lahad Dahi, 65; Julham Rashid, 71, dan Datu Amirbahar Hushin Kiram, 55.

    Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Azahar Mohamed.

    Ketika membuat keputusan itu, Md Raus berkata hukuman mati ke atas kesemua mereka yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah wajar.

    "Kami tidak menemui sebarang alasan lain untuk membuat keputusan selain dari hukuman mati.

    "Sabitan ke atas semua responden adalah selamat, dan dengan ini kami menolak rayuan pihak pembelaan," katanya.

    Kesemua responden tiba di Istana Kehakiman demgan diiringi anggota keselamatan masuk ke Mahkamah Persekutuan pada jam 8.40 pagi.

    Sekitar kawasan mahkamah dan ruang lobi turut dikawal ketat pasukan keselamatan.

    Wakil media pula ditempatkan di bilik mahkamah berasingan dan mengikuti prosiding melalui paparan skrin berikutan faktor keselamatan.

    Semua responden diwakili peguam Datuk N. Sivananthan bersama enam lagi manakala barisan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud dan dibantu sembilan yang lain.

    ‪Pada 8 Jun‬ tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membuat keputusan sebulat suara menjatuhkan hukuman mati selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya hukuman lebih berat dijatuhkan terhadap semua responden.

    Semua responden sebelum ini dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 25 Julai 2016, selepas didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan. - SH

    Subjects:

  • No Comment to " Sembilan Militan Ceroboh Lahad Datu Ke Tali Gantung "