• Semak Wang Tak Dituntut Di Kaunter Bergerak

    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+


    KEMENTERIAN Kewangan akan mewujudkan kaunter bergerak bagi memudahkan orang ramai di kawasan pendalaman membuat semakan Wang Tidak Dituntut (WTD) sebelum melakukan proses tuntutan di Jabatan Akauntan Negara.

    Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, kaunter itu akan dibuka menerusi Pusat Transformasi Komuniti Bergerak atau lebih dikenali sebagai Mobile CTC yang menghimpunkan perkhidmatan utama mengikut keperluan penduduk tempatan secara serentak di satu lokasi yang dikenal pasti.

    "Sehingga hujung tahun lalu, kira-kira RM5.8 billion WTD direkodkan. Proses tuntutan masih berjalan seperti biasa pada tahun ini.

    "Cuma untuk memudahkan rakyat yang berada di kawasan luar bandar, saya akan pastikan Jabatan Akauntan Negara menyertai Mobile CTC, sesiapa sahaja boleh membuat semakan di situ, sekiranya semakan mendapati ada WTD, maka mereka boleh ke Jabatan Akauntan Negara di pusat bandar untuk proses seterusnya," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media 'Karnival Jerlun For Jerlun' di Pejabat Daerah Jerlun, semalam.

    Mengulas lanjut, Othman berkata, kemudahan itu akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memberi peluang kepada orang ramai berbuat demikian.

    Katanya, kesedaran orang ramai mengenai WTD semakin meningkat dan rakyat kini lebih faham mengenai proses tuntutan berkenaan.

    "Dulu selepas diumumkan mengenai WTD pelbagai isu timbul sehingga berlaku kesesakan di Jabatan Akauntan Negara, namun sekarang rakyat lebih faham kerana kerajaan tidak menghadkan tarikh tuntutan atau ia boleh dituntut bila-bila masa saja," katanya.

    Sementara itu, Othman yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, pihaknya mensasarkan lebih 15,000 pengunjung akan membanjiri karnival terbabit yang akan berlangsung pada 9 dan 10 Februari depan.

    "Karnival yang akan diadakan di Kompleks Sukan Jerlun, Sanglang turut menawarkan sekurang-kurangnya 500 peluang pekerjaan kepada anak muda Jerlun selain turut diselitkan dengan pelbagai acara sukan dan cabutan bertuah.

    "Sebanyak 16 agensi kerajaan akan dihimpunkan dalam karnival ini yang akan memberikan pelbagai perkhidmatan kepada pengunjung termasuk syarikat swasta yang menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

    "Kita harap anak muda Jerlun akan ambil peluang ini dan bersedia untuk bekerja sekiranya ditawarkan di mana sahaja lokasi, untuk berjaya mereka perlu ketepikan nilai sentimental dahulu dan sanggup berhijrah," katanya.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Semak Wang Tak Dituntut Di Kaunter Bergerak "