• Seludup Minyak Masak Digagalkan, Barang Tiruan Dirampas

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+


    KOTA BHARU: Cubaan sindiket yang mahu menyeludup 300 kotak minyak masak ke negara jiran digagalkan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan menerusi Ops Khas Bekalan (Skuad IGAK), Khamis lalu.

    Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun, berkata serbuan dilakukan pada jam 11.40 malam terhadap sebuah lori dan rumah yang dijadikan stor di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang sebelum menemui minyak masak seberat 5,780 kilogram (kg) bernilai RM14,450.

    Beliau berkata, berikutan itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun yang menjadi pemandu lori terbabit.

    "Skuad IGAK membuat risikan dan berjaya menahan lelaki terbabit yang sedang mengisi minyak masak dari lori ke dalam stor simpanan sebagai tempat transit sebelum diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram.

    "Hasil siasatan, suspek mendapatkan bekalan minyak masak itu dari Selangor untuk diseludup ke Thailand. Kita turut menyita lori terbabit yang bernilai RM50,000.

    "Bagaimanapun, mengenai berapa lama sindiket ini beroperasi masih dalam siasatan dan suspek disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

    Katanya, penyeludupan minyak masak itu dibuat kerana mendapat permintaan tinggi di Thailand yang dijual dengan harga RM52 sekotak, berbanding RM42 sekotak di negara ini.

    Sementara itu, dalam kes berasingan pada hari sama, KPDNKK merampas 390 unit pelbagai barang jenama seperti Louis Vuitton (LV) tiruan di sebuah premis pemborong beg tangan dan aksesori wanita di Ketereh pada jam 12 tengah hari.

    Ab Ghani berkata, pihaknya mendapat aduan daripada wakil pemilik cap dagangan berhubung kegiatan itu selepas pemilik premis itu mengiklankan jualannya secara besar-besaran di hadapan premisnya dan Facebook.

    "Pemeriksaan lanjut, kita menemui 390 unit barang tiruan jenama LV dianggarkan bernilai RM36,000 yang diperoleh dari Kuala Lumpur sebelum dijual pada harga sekitar RM50 hingga RM65.

    Berikutan itu, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.-BHOnline

    Subjects:

    Nasional
  • No Comment to " Seludup Minyak Masak Digagalkan, Barang Tiruan Dirampas "