• Saya Bertanggungjawab - TMJ

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejatuhan ranking Harimau Malaya dalam senarai terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), hari ini.

    Tunku Ismail berkata demikian menerusi satu kenyataan ringkas di Facebook rasmi FAM susulan ranking Harimau Malaya yang jatuh satu anak tangga dari 174 ke 175, sekali gus kedudukan terburuk buat skuad itu.

    "Kedudukan terkini pasukan kebangsaan turun sekali lagi daripada kedudukan 174 ke 175. Saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kejatuhan kedudukan pasukan kebangsaan ini dan pada setiap kali pasukan kebangsaan kalah atau kedudukan menurun," kata Tunku Ismail.

    Harimau Malaya yang kekal dengan 99 mata ketika berada di kedudukan 174, bulan lalu dipintas Kuwait yang mengumpul 100 mata.

    Bagi ranking negara Asia, skuad itu yang kini di bawah kendalian Tan Cheng Hoe berada di kedudukan ke-36 dan kelapan Asia Tenggara di bawah Kemboja dan Singapura.

    Cheng Hoe yang dilantik sebagai pengganti Nelo Vingada bagaimanapun belum mengharungi sebarang perlawanan dan ujian pertamanya ialah pada aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Lubnan, Mac ini.

    Ketika ini, hanya Laos, Brunei dan Timor Leste sahaja yang berada di bawah Harimau Malaya jika mengikut kedudukan negara di rantau Asia Tenggara.

    Kedudukan semasa Harimau Malaya dalam ranking FIFA mungkin mengecewakan seluruh peminat selepas berbangga dengan pencapaian skuad bawah 23 (B-23) tahun yang mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), kelmarin.

    Sementara itu, Jerman kekal di kedudukan nombor satu dunia dengan mengumpul 1,602 mata diikuti Brazil (1,483) dan Portugal di tangga ketiga (1,358). - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Saya Bertanggungjawab - TMJ "