• Sarawak Setuju Peroleh 10 Peratus Ekuiti Petronas LNG9

    Published: Tuesday, 16 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju memperoleh ekuiti 10 peratus dalam Petronas LNG 9 Sdn Bhd (PL9SB) yang memiliki tren pengeluaran gas cecair asli (LNG) kesembilan di Bintulu.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan itu merupakan sebahagian daripada kejayaan rundingan antara kerajaan negeri dan Petronas.

    "Ini adalah salah satu langkah kita untuk bekerjasama dengan Pertronas dan kita amat berterima kasih kepada Petronas kerana telah mengambil kira kepentingan kita untuk mengambil bahagian dalam kegiatan hiliran di Sarawak," katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo.

    Melalui persetujuan tersebut, kerajaan negeri Sarawak kini sudah mempunyai kepentingan dalam keempat-empat aset LNG yang terdapat dalam Kompleks Petronas LNG Bintulu.

    Sehingga kini, Sarawak sudah memiliki lima peratus kepentingan dalam LNG1 Sdn Bhd dan 10 peratus masing-masing dalam LNG2 Sdn Bhd dan LNG3 Sdn Bhd.

    "Perolehan ekuiti dalam PL9SB turut mengukuhkan lagi hubungan korporat sekian lama di antara kerajaan negeri dan Petronas khususnya dalam usaha membangun dan menambah nilai kepada sumber hidrokarbon di persisiran pantai Sarawak.

    "Kerjasama dalam PL9SB menggariskan komitmen kedua-dua pihak kepada kolaborasi berterusan dalam pembangunan minyak dan gas di Sarawak, selain sebarang bentuk kerjasama lain yang akan memberi manfaat kepada negeri ini dan Petronas," ujarnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Sarawak Setuju Peroleh 10 Peratus Ekuiti Petronas LNG9 "