• Sarawak Perlukan Pakar, Ahli Akademik Buat Kajian Projek Impak Besar

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    MIRI: Bagi menguji ketahanan bangunan dan infrastruktur yang melibatkan projek berimpak besar, kerajaan memerlukan pakar dan ahli akedemik untuk membuat kajian.

    Sarawak ketika ini sedang membina Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,089 kilometer kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya, kajian dan kepakaran ahli akademik penting bagi memastikan semua projek pembinaan bangunan dan pengangkutan lebih tahan lama dan kukuh.

    “Malaysia kini menuju ke arah negara maju di mana peranan pembinaan dan kejuruteraan struktur membawa perubahan besar kepada landskap negara,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak Datuk Julaihi Narawi semalam.

    Katanya, adalah penting untuk menerapkan pengetahuan dan penyelidikan bidang akademi ke dalam industri.

    “DuraBI 2018 menyatukan ahli akademik dan pakar untuk membentangkan penyelidikan dan ciptaan mereka dalam industri melibatkan pembinaan bangunan dan infrastruktur.

    “Ahli akademik, penyelidik atau pakar juga digalakan menggunakan pengetahuan mereka untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur di Sarawak,” ujarnya.

    Menurutnya lagi, akses jalan raya adalah nadi utama bagi merancakkan perhubungan rakyat dari satu tempat ke tempat lain.

    Sehubungan itu, pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang dijangka siap awal 2022 nanti akan membawa impak besar kepada landskap Sarawak khasnya ekonomi. – Sarawakiana
  • No Comment to " Sarawak Perlukan Pakar, Ahli Akademik Buat Kajian Projek Impak Besar "