• Sarawak jadi hab nanas MD2

    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Sarawak dijangka menjadi hab pengeluaran nanas MD2 menerusi pembukaan ladang seluas 2,000 hektar dengan sebahagian besar pengeluaran akan dieksport ke China.

    Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Mohd Anim Hosnan, berkata selain mempunyai tanah luas, kedudukan Sarawak yang hampir dengan China menjadikannya lokasi strategik.

    Katanya, projek perintis MD2 di Kampung Padang Pan, Bau, Sarawak akan dilancarkan Sabtu ini dan sebagai permulaan, projek perintis itu membabitkan penanaman 100,000 pokok MD2 di tapak seluas empat hektar.

    "Nanas MD2 ini menjadi antara nanas pilihan seluruh dunia kerana rasanya manis dan tidak lidas. Menerusi pelabuhan di Sarawak, nanas hanya mengambil masa lima jam saja untuk sampai ke China, berbanding jika eksport menerusi Pelabuhan Klang mengambil masa sehingga 10 hingga 11 jam untuk sampai ke China," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Pagi LPNM dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah, di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Datuk Azmi Alias.

    Mohd Anim berkata, penubuhan hab nanas MD2 di Sarawak selaras dengan tumpuan pihaknya terhadap pengeluaran nanas jenis itu termasuk bagi memenuhi pasaran luar negara.

    "LPNM menumpukan penanaman premium MD2 tetapi pada masa sama, tetap tidak melupakan nanas jenis lain seperti Josapine, Moris dan N36," katanya.

    Mohd Anim berkata, pengusaha MD2 dijangka mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan berbanding pengusaha nanas jenis lain memperoleh RM3,000," katanya.

    Sementara itu, mengenai penubuhan Lembaga Kelapa, Nanas dan Buah-buahan negara (LKNBN) yang diumumkan pada Bajet 2018, Mohd Anim berkata, ia dijangka dibawa ke mesyuarat Kabinet Rabu ini.

    Katanya, ia akan membabitkan penstrukturan semula LPNM dengan kemasukan lembaga baharu.

    "Mesyuarat itu akan memutuskan sama ada Akta 427 akan digubal atau dirangka baharu bagi penubuhan lembaga baharu ini. Selain kelapa dan nanas, cadangan buah-buahan yang akan dimasukkan adalah jenis tidak bermusim seperti betik, belimbing, pisang, jambu batu, jambu air, tembikai, limau bali dan buah bermusim durian," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Sarawak jadi hab nanas MD2 "