• Sarawak Isytihar Perang Terhadap Wabak Rabies

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 3 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Pengisytiharkan ‘Perang Terhadap Wabak Rabies’ yang terus menular di negeri ini semenjak 1 Julai 2017 mula dilancarkan.

    Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pengisytiharan itu dibuat berikutan penemuan kes pertama anjing yang disahkan positif rabies di zon tengah Sarawak, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau No.2 Sarikei pada 29 Disember 2017.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata empat lagi kawasan disahkan positif rabies ialah Lorong Ketitir 1 Batu Kawah, Taman Makmur Batu 6 Matang, Kampung Singai Atas Bau dan Taman Malihah Matang yang sememangnya berada dalam kawasan yang telah diisytihar sebagai zon rabies.

    “Kita melancarkan perang habis-habisan terhadap rabies dan oleh itu kawasan penampan (buffer zone) baharu diwujudkan dari Sibu ke bawah. Maknanya dari Sibu kita turun ke Selatan.

    “Kedua, apabila kita mengesan kes positif di Julau, kita mengkaji bagaimana kes ini boleh sampai ke Julau. Sudah tentu disebabkan mobiliti pembawa (virus) ke Julau,” katanya.

    Katanya, selain itu kewujudan kawasan perladangan (kelapa sawit) di Julau yang menggaji pekerja asing dan sebahagian daripada mereka mempunyai anjing peliharaan antara faktor jangkitan di Julau.

    Ekoran itu tambahnya, bagi memastikan pergerakan anjing atau kucing melepasi kawasan penampan baharu (Sibu dan ke bawah) kerajaan akan mengadakan sekatan jalan raya.

    Menurutnya, sekatan jalan raya itu akan dilakukan di jalan yang menghubungkan Bandar Sibu terutama dua laluan jambatan utama iaitu Jambatan Bintangor di Pradom dan Jambatan Durin.

    “Ini bertujuan menghentikan mobiliti kucing dan anjing di luar kawasan penampan baharu ini. Oleh itu sekatan jalan raya kali ini akan dibantu polis,” jelasnya.

    Uggah percaya menerusi langkah itu pergerakan pembawa virus rabies melepasi zon penampan dapat disekat.

    Justeru beliau mengarahkan operasi secara besar-besaran penangkapan anjing liar berkeliaran bermula hari ini yang dilaksanakan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa lokasi panas di sekitar Kuching.

    “Jawatankuasa memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak membiarkan anjing atau kucing peliharaan mereka berkeliaran atau dilepaskan di luar rumah.

    “Jika haiwan ini ditemui di luar rumah, mereka tidak teragak-agak menangkap haiwan berkenaan. Justeru orang ramai dinasihati mengurung haiwan peliharaan mereka,” ujarnya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Sarawak Isytihar Perang Terhadap Wabak Rabies "