• Sanggup Mengaku Bukan Islam

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+

    Dua tukang urut wanita sanggup mengaku bukan Islam bagi mengelak ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) ketika serbuan di premis urut di Senawang, Seremban, semalam.

    Dalam operasi yang bermula 10.30 malam itu, dua wanita warga Indonesia berusia 30-an terbabit cuba berdolak-dalik ketika disoal siasat anggota penguat kuasa JHEAINS untuk melepaskan diri.

    Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata, ketika serbuan dilakukan kedua-dua wanita itu sedang melayan pelanggan masing-masing.

    Katanya, sebaik ditahan mereka mengaku bukan Islam tetapi hasil pemeriksaan dilakukan mendapati mereka beragama Islam.

    "Mereka mendakwa berbuat demikian kerana tidak mahu ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang.

    "Siasatan lanjut juga mendapati mereka pernah ditahan JHEAINS sebelum ini dan didakwa di mahkamah atas kesalahan sama," katanya.

    Ahmad Zaki berkata, dalam operasi itu pihaknya turut menahan tiga lelaki yang juga pelanggan beragama Islam iaitu dua warga Pakistan dan seorang warga tempatan.

    "Semua ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 61 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana disyaki berkhalwat.

    "Dua wanita terbabit turut didakwa mengikut Seksyen 48 enakmen sama kerana mengaku bukan Islam," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Sanggup Mengaku Bukan Islam "