• Samun Kerana Desakan Hidup

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+


    BERANG tidak diberi wang seperti diminta, seorang lelaki menetak kepala warga Bangladesh dengan parang sehingga menyebabkan mangsa menerima 10 jahitan, semalam.

    Kejadian berlaku pada 6.40 pagi ketika mangsa bersama tiga rakannya sedang memasak di dalam bangsal di ladang betik di Lahar Tembun, Tasek Gelugor.

    Suspek berusia 33 tahun yang bersenjatakan parang menceroboh bangsal terbabit sambil meminta mangsa menyerahkan wang dan telefon bimbit.

    Bagaimanapun, mangsa enggan menyerahkan wang menyebabkan suspek berang lalu menetak kepala mangsa dan merampas wang tunai sebanyak RM210.

    Rakan mangsa yang melihat kejadian itu sempat menahan suspek sebelum menghubungi polis.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sepasukan anggota polis diketuai Asisten Superintendan Mohd Yusof Ibrahim bergegas ke lokasi kejadian dan menahan suspek pada 8.40 pagi.

    Katanya, soal siasat mendapati suspek bertindak demikian kerana terdesak untuk mendapatkan wang.

    "Suspek turut mengaku terbabit dalam kes samun dengan menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di Taman Gelugor Indah pada 1 Januari lalu.

    "Polis kemudian merampas parang, motosikal Honda EX5 dan peralatan pecah rumah digunakan suspek sebelum dia dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan kerana patah kaki," katanya.

    Katanya, suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.

    Subjects:

  • No Comment to " Samun Kerana Desakan Hidup "