• Salji Tebal, Sejuk Melampau Di Jepun

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+
    TOKYO: Jepun mengalami cuaca sejuk melampau apabila suhu turun sehingga -4 darjah Celcius menyebabkan perkhidmatan ambulans berdepan hari paling sibuk sejak lapan dekad lalu.

    Jabatan bomba Tokyo yang turut mengendalikan perkhidmatan ambulans berkata, ia menerima 2,826 panggilan, Rabu lalu susulan salji tebal yang menyebabkan hura-hara di antara bandar paling padat di dunia itu.

    Imej di bandar Tokyo menunjukkan penduduk bergelut dengan keadaan salji tebal dan berais.

    "Biasanya kami memang menerima banyak panggilan ketika musim sejuk. Tetapi kami percaya gabungan influenza, salji tebal dan cuaca sejuk menyumbang kepada peningkatan jumlah panggilan," kata seorang jurucakap.

    Jumlah itu sekali gus direkodkan yang paling tinggi sejak perkhidmatan itu mula beroperasi pada 1936 dan jauh melebihi purata kira-kira 2,000 panggilan.

    Berikutan itu, kerajaan memberi amaran keadaan berais itu akan berterusan.

    "Agensi cuaca mengeluarkan amaran suhu rendah di Tokyo sejak kali pertama dalam tempoh 33 tahun. Cuaca sejuk akan berterusan sehingga Sabtu," kata jurucakap kerajaan, Kotaro Nogami.

    Salji tebal luar biasa di Tokyo, Selasa lalu menyebabkan ribuan orang terkandas dan beberapa cedera.

    Agensi cuaca Jepun merekodkan salji setinggi 23 sentimeter di beberapa bahagian di Tokyo.

    "Sekurang-kurangnya 67 orang cedera dalam kemalangan disebabkan salji dan jumlah itu dijangka meningkat memandangkan panggilan kecemasan masih berterusan," kata jurucakap jabatan bomba.

    Lebih 330 penerbangan domestik berlepas dari dan tiba di lapangan terbang di Tokyo dibatalkan susulan cuaca buruk, dengan beberapa perkhidmatan kereta api turut digantung. - Daily Mail

    Subjects:

  • No Comment to " Salji Tebal, Sejuk Melampau Di Jepun "