• 'Salah Ke Mourinho Tinggal Di Hotel?'

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+

    MANCHESTER: Jose Mourinho mentertawakan andaian bahawa keputusannya tinggal di hotel di pusat bandar menunjukkan kurangnya komitmen beliau sebagai pengurus Manchester United.

    Jurulatih kelahiran Portugal itu didesak untuk mengesahkan keinginannya kekal di Old Trafford ekoran laporan kebimbangan pegawai kanan kelab bahawa beliau mungkin bersedia meninggalkan kelab itu pada akhir musim.

    Pilihan Mourinho untuk kekal di apartmen yang berada dalam pusat bandar Lowry Hotel, dan bukannya membeli kediaman tetap di kawasan itu, turut dilihat sebagai bukti bahawa bekas pengurus Chelsea itu enggan menunjukkan komitmen untuk tinggal di kawasan berkenaan.

    Namun Mourinho memberitahu wartawan awal pagi tadi: “Jika peminat mahu saya berasa selesa, itulah cara saya rasa selesa, saya seorang yang amat pemalas.

    “Saya suka datang ke hotel dan tidak mahu sesiapa bimbang kerana saya bukannya tinggal di bilik berkeluasan dua meter persegi.

    “Saya berada di apartmen di mana saya memiliki keselesaan dan sokongan, seperti juga berada di rumah. Jika mereka bimbang sama ada saya selesa, gembira dan mendapat sokongan, saya juga merasainya.

    “Jika mereka mahu saya tinggal di rumah yang saya tidak suka, kesunyian, jauh daripada pembantu, sudah pasti saya akan sedih dan orang yang sedih tidak boleh bekerja dengan baik.”

    Jurulatih berusia 54 tahun itu benar-benar tersinggung dengan laporan bahawa beliau tidak gembira dengan kekangan kewangan kelabnya, jika dibandingkan dengan pendahulu liga Manchester City, membayangkan beliau tidak lagi bersemangat dengan tugasnya di United.

    Bercakap menjelang aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Derby malam ini, beliau menegaskan bahawa dirinya sentiasa komited terhadap skuad gergasi Liga Perdana Inggeris seperti juga jawatannya yang lain.

    “Saya sentiasa fikirkan bahawa tugas saya adalah kerja saya, jadi saya sentiasa komited terhadap setiap kelab,” kata Mourinho yang kelabnya kini di tangga kedua, ketinggalan 15 mata berbanding City dalam Liga Perdana.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " 'Salah Ke Mourinho Tinggal Di Hotel?' "