• 'Rundingan sulit? Mengarut!'

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+

    SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, menyifatkan dakwaan pihak tertentu kononnya parti itu melakukan rundingan sulit dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai mengarut.

    Beliau berkata, kepemimpinan PAS Selangor tidak pernah berunding dengan kerajaan negeri PKR sejak tahaluf siyasi antara kedua-dua parti itu dibatalkan, jauh sekali membentuk kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    "Kenyataan kononnya ada rundingan sulit seolah-olah nak melagakan dan menjejaskan keharmonian kepemimpinan PAS Selangor. Ia menggambarkan macam ada pemimpin bertindak bersendirian.

    "Saya anggap tuduhan seperti ini sengaja cuba memecah-belahkan PAS Selangor. Ahli PAS tidak perlu layan dan jangan percaya tuduhan ini," katanya kepada BH di sini, hari ini.

    Sebelum ini, bekas Setiausaha PAS Selangor, Norman Toha mendakwa kerajaan PKR Selangor masih melakukan rundingan dengan PAS negeri ini bagi membentuk kerjasama pada PRU-14.

    Norman berkata, perbincangan diketuai Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan beberapa pemimpin PAS negeri itu dilakukan tanpa pengetahuan pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain.

    PKR masih mengharapkan PAS menyertai PH kerana mengharapkan kekuatan jentera pilihan raya PAS yang banyak membantu kempen pakatan pembangkang pada PRU-13.

    Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, turut mempersoalkan kenyataan bekas pemimpin PAS Selangor itu selepas sekian lama menyepi.

    "Mungkin Norman nak buat kemunculan semula selepas begitu lama menghilang," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Rundingan sulit? Mengarut!' "