• Rumah Penolong Pengarah Kanan Kastam dibakar

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 23 January 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA - Empat buah kereta termasuk bahagian depan rumah milik Penolong Pengarah Kanan Kastam Bahagian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Nor Azman Jini terbakar dipercayai oleh perbuatan khianat di Precint 11 di sini dalam satu kejadian awal pagi tadi.

    Kebakaran yang berlaku pada pukul 3.30 pagi itu, Nor Azman yang berusia 59 tahun, isteri, anak dan menantu serta dua cucu berusia dua serta tiga tahun sedang tidur sebelum mereka dikejutkan oleh jiran.

    Menurut isteri, Nor Azman, Norhayati Khairuddin, 57, mereka tidak dapat lari dari pintu depan kerana api sudah marak ketika itu menyebabkan mereka mengambil keputusan melarikan diri dari rumah teres dua tingkat rumah tersebut.

    “Keadaan kelam kabut waktu itu dan gelap ditambah dengan bunyi meletup dari luar menyebabkan kami semua panik dan terus keluar guna pintu belakang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

    Dipercayai kebakaran tersebut, bermula dari bahagian depan rumah kuarters kerajaan itu menyebabkan empat buah kereta termasuk kereta Mercedes Benz, Perodua MyVi, Honda CRV dan Proton Saga.

    Difahamkan tingkap depan rumah tersebut didapati telah pecah dan turut dijumpai penukul diletakkan di atas kereta Mercedes Benz milik Norhayati.

    Dalam pada itu, Pengarah Bomba Putrajaya, Md. Hilman Abdul Rashid berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 4.07 pagi dan berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh 30 minit oleh lapan orang anggota bomba.

    “Punca kebakaran masih disiasat dan semua bukti telah dibawa ke makmal. Siasatan juga menjurus sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya," katanya. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Rumah Penolong Pengarah Kanan Kastam dibakar "