• Ronaldinho ‘Gantung But’ Secara Rasmi - Assis

    Published: Wednesday, 17 January 2018
    A- A+

    SAO PAULO: Bekas jentera kebangsaan Brazil dan Barcelona, Ronaldinho, yang pernah menjulang kejuaraan Piala Dunia, Liga Juara-Juara, Copa Libertadores dan memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan, secara rasmi bersara sebagai pemain, kata abangnya yang juga ejen Assis hari ini.

    Ronaldinho sudah tidak bermain dalam perlawanan kompetetif sejak 2015, namun kini sedia mengakhiri kariernya sebagai seorang pemain bola sepak.

    “Dia berhenti, sudah berakhir. Kami akan lakukan sesuatu (majlis persaraan) yang besar, menarik, selepas Piala Dunia di Rusia, mungkin pada Ogos ini,” kata Assis kepada akhbar Rio de Kaneiro, O Globo.

    Difahamkan, legenda Brazil itu mahu menggantung butnya bagi memberi fokus kepada karier baharu sebagai pemuzik serta jurulatih di sekolah.

    Sejak 2015, dia tidak mempunyai kelab profesional yang disertainya, namun pemain berusia 37 tahun itu aktif dalam sukan ekstrem malah banyak terlibat dengan pertunjukan kemahiran di peringkat global.

    Mengulas lanjut Assis berkata, majlis persaraan itu akan diadakan dalam perlawanan perpisahan yang akan berlangsung di Brazil, Eropah dan Asia atau mungkin aksi menentang pasukan kebangsaan.

    Ronaldinho, yang akan menjangkau usia 38 tahun pada Mac ini, memulakan karier sebagai pemain profesional di Gremio sebelum berhijrah ke tujuh kelab lain seperti Paris Saint-Germain (PSG), AC Milan, Queretaro, Flamengo Atletico Mineiro dan Fluminense.

    Menyarung jersi Barca pada 2003 hingga 2008 merupakan detik kegemilangannya, di mana dia menyajikan persembahan terhebat yang belum pernah dilihat dalam sejarah kelab Sepanyol itu sendiri, termasuk aksi paling dikenang ketika mengatasi Real Madrid 3-0 di Bernabeu pada 2005.

    Pemain yang digelar ‘arkitek’ pasukan itu menamatkan spekulasi persaraannya yang timbul sebelum ini apabila banyak klip gambar-gambarnya dimuat naik di laman sosial.

    Turut berkongsi di laman Twitter, bintang Barcelona, yang juga pernah bermain bersama Ronaldinho, Lionel Messi.

    “Ronaldinho rasmi bersara daripada bola sepak. Ahli silap mata,” tulisnya.- REUTERS


    Subjects:

  • No Comment to " Ronaldinho ‘Gantung But’ Secara Rasmi - Assis "