• RM4juta Untuk 140 Rumah Panjang Di Beluru

    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+


    MIRI: Sejumlah RM4 juta dana akan diagihkan kepada 140 rumah panjang di daerah Beluru di utara Sarawak, untuk menaik taraf dan membaiki kerosakan kediaman, tidak lama lagi.

    Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, berkata agihan peruntukan itu diberikan Kerajaan Pusat untuk membantu meringankan kos hidup dan beban penduduk rumah panjang di utara negeri ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi itu berkata, setiap keluarga di rumah panjang yang layak akan menerima bantuan Kerajaan Pusat sebanyak RM1,000.

    "Hanya ketua keluarga dan setiap rumah panjang akan menerima bantuan RM1,000 itu.

    "Ini bermakna anak atau keluarga di sesebuah rumah panjang yang menetap di bandar tidak layak mendapat agihan bantuan itu," katanya pada majlis penyerahan cek projek khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini, hari ini.

    Penguang berkata, kerajaan akan melantik ketua masyarakat untuk mengemukakan senarai nama keluarga yang layak mendapat bantuan itu.

    Katanya, setiap senarai nama ketua keluarga yang layak akan ditapis untuk mengelakkan berlaku penyelewengan yang boleh memburukkan imej kerajaan.

    "Tujuan kita memberi peruntukan itu bagi membolehkan keluarga berkenaan membeli keperluan menaik taraf kediaman mereka seperti membaiki atap bocor dan sebagainya," katanya.

    Bagi rumah panjang yang tidak mendapat peruntukan itu, beliau berkata, mereka akan tetap diberikan peruntukan geran daripada kerajaan negeri.-BHOnline
  • No Comment to " RM4juta Untuk 140 Rumah Panjang Di Beluru "