• Ringgit Meneruskan Momentum Pengukuhan Berbanding Dolar AS

    Published: Thursday, 25 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya apabila dibuka tinggi pagi ini berbanding dolar AS.

    Dolar AS susut kepada paras terendah dalam tempoh tiga tahun berbanding mata wang lain ekoran ulasan oleh Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Steven Mnuchin bahawa beliau menyambut baik penyusutan mata wang negara itu memandangkan kedudukan itu baik untuk perdagangan serta peluang lain untuk negara berkenaan.

    Pada 9.00 pagi, ringgit berada pada paras 3.9010/9040 berbanding dolar daripada 3.9110/9140 pada penutupan Rabu.

    Ketua Pedagang Oanda Corp bagi Asia Pasifik, Stephen Innes berkata, kedudukan harga semalaman itu menunjukkan pergolakan dolar US itu sendiri berbanding kedudukan pasaran pra-Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia.

    "Bagaimanapun mata wang tempatan disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan penyusutan dolar.

    "Sementara itu, hari ini merupakan penentuan ringgit berdasarkan keputusan mesyuarat BNM," katanya.

    Beliau berkata, jika BNM memberi isyarat satu lagi kenaikan kadar untuk 2018, tindakan itu akan mencetuskan situasi menguji penurunan serta-merta ringgit kepada 3.70, namun jika BNM membuat satu kenaikan tunggal bagi 2018, pasaran akan menguji paras 3.80. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Ringgit Meneruskan Momentum Pengukuhan Berbanding Dolar AS "