• Ribut, Hujan Berterusan Hingga Ahad Ini

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang dijangka berterusan hingga Ahad ini di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan sebahagian kawasan Sabah.

    Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan dikeluarkan jam 4.21 pagi tadi memaklumkan, daerah terbabit di Sabah adalah pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Wilayah Persekutuan Labuan.

    "Ia susulan angin kencang Timur Laut pada kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

    "Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut," katanya.

    Selain ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur turut terdedah kepada kenaikan paras laut yang dijangka bermula esok hingga Ahad ini.

    Laman sesawang Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan paras air Sungai Muar, Segamat, Johor; Sungai Lipis, Raub dan Sungai Pahang, Paloh Inai masing-masing di Pahang dan Sungai Kinabatangan, Sabah melepasi tahap jingga atau amaran.

    Paras air Sungai Muar pada jam 7 pagi ini menunjukkan bacaan 8.79 meter (m), lebih 0.26 meter daripada tahap amaran serta menunjukkan trend peningkatan berterusan.

    Sungai Lipis mencatat lebihan 0.38m berbanding tahap biasa 114.24m, Sungai Pahang 0.58m daripada 9.67m dan Sungai Kinabatangan lebih 0.60 m daripada paras biasa 5.50m.

    Hujan lebat pagi ini dengan kadar 31.0 milimeter (mm) turut dilaporkan di Sibu Laut, Kuching, Sarawak. - Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Ribut, Hujan Berterusan Hingga Ahad Ini "