• Revolusi Teknologi, Pertingkat Ekonomi Luar Bandar

    Published: Tuesday, 30 January 2018
    A- A+
    KUCHING : Masyarakat luar bandar perlu perubahan drastik supaya lebih berdaya saing dan jurang ekonomi antara luar bandar dan bandar dapat dirapatkan.

    Pada mesyuarat ketiga penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-18 mesyuarat khas sempena Ulangtahun ke 150 DUN, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan perlu mencari jalan baru untuk meningkatkan pendapatan dan kekayaan luar bandar serta meningkatkan kualiti hidup di kawasan luar bandar.

    "Ekonomi luar bandar tidak sepatutnya hanya mengenai pertanian, ekonomi luar bandar juga boleh mengenai industri, ekonomi digital serta perkhidmatan.

    "Ini disebabkan oleh revolusi yang dibawa oleh teknologi yang membolehkan maklumat dan komunikasi diakses walaupun berada jauh di pendalaman.

    "Inilah sebabnya saya mahukan telekomunikasi untuk pergi ke komuniti terpencil di Sarawak dan merupakan cabaran bagi saya supaya bakat yang ada dalam ekonomi digital menghasilkan penyelesaian untuk Sarawak dengan kos yang munasabah," katanya.

    Jelas Abang Jo, pada masa ini, kerajaan mempunyai beberapa inisiatif strategik untuk ekonomi luar bandar seperti Pusat Pertumbuhan Luar Bandar, Skim Penempatan Semula, Rimbunan Kasih, Program Pembasmian Kemiskinan, Pusat Transformasi Luar Bandar, Latihan ICT Desa, Pembangunan Tanah Agropolitan dan NCR.

    "Kita mungkin perlu membuat strategi berdasarkan peluang baru yang dibentangkan oleh ekonomi digital dalam membangunkan kawasan luar bandar dan memodenkan serta mengkomersilkan sektor pertanian dengan penyertaan sektor swasta yang lebih besar menerusi aplikasi teknologi digital.

    "Ini termasuk penerapan internet untuk pertanian pintar koleksi, pemprosesan dan pusat pembungkusan (CPPC) serta e-Dagang untuk pemasaran hasil pertanian," ujarnya.

    Menurut beliau, tiga agensi pembangunan baru iaitu Agensi Pembangunan Hulu Rajang, Agensi Pembangunan Tanah Tinggi dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara telah ditubuhkan di bawah RECODA untuk memainkan peranan penyelarasan rancangan pembangunan oleh Pihak Berkuasa Perancangan Negeri dan memudahkan pelaksanaan program dan projek pelbagai di tiga wilayah terbabit. - Sarawakiana


  • No Comment to " Revolusi Teknologi, Pertingkat Ekonomi Luar Bandar "