• Resit Pajak Bantu Temui Semula Hasil Samun

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    BINTULU: Dua resit pajak gadai berjaya membantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu menemui semula lima rantai emas bernilai RM3,430 yang dilarikan penjenayah dalam beberapa kejadian pecah rumah di bandar ini bulan lalu.

    Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata kedua-dua resit berkenaan ditemui dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sebiew, di sini kira-kira jam 10 pagi semalam yang membawa kepada penahanan suspek utama kes berkenaan.

    "Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke Kampung Sebiew, seterusnya berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun disyaki suspek utama kes pecah rumah itu.

    "Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui dua resit pajak gadai yang membuktikan wujud transaksi jual-beli antara suspek dan sebuah premis pajak gadai barang kemas berhampiran Pasar Bintulu," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

    Zulkipli berkata, bertindak atas maklumat itu, pihaknya menyerbu premis pajak gadai berkenaan kira-kira jam 5 petang semalam sebelum berjaya menemui semula kesemua hasil samun berkenaan, yang dipercayai sedang menunggu masa dijual kepada pembeli.

    "Kita sedang mengenalpasti hubungan suspek dengan premis pajak gadai itu, termasuk kaitannya dengan beberapa kejadian pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan pecah rumah," katanya.

    Katanya, suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 14 Januari untuk siasatan lanjut. - BHOnline
  • No Comment to " Resit Pajak Bantu Temui Semula Hasil Samun "