• Rekod Barca Lebur Di Tangan Messi

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+


    MADRID: Lionel Messi mensia-siakan penalti ketika Espanyol meledak gol pada minit terakhir untuk memberikan Barcelona kekalahan pertama mereka sejak Ogos, dalam perlawanan pertama suku akhir Piala Raja Sepanyol awal pagi tadi.

    Oscar Melendo menjaringkan gol dua minit sebelum tamat perlawanan, apabila meluru mendapatkan hantaran rendah Marc Navarro untuk menghukum Messi kerana terlepas penalti pada minit ke-62 dan mencetuskan sorakan penyokong tuan rumah.

    "Kami tahu harinya akan tiba juga, kami cuba menangguhkannya selama mungkin tetapi ini bukan harinya," kata Sergio Busquets selepas perlawanan itu.

    "Apa yang baiknya, kami mempunyai perlawanan kedua untuk mencipta kebangkitan. Kami bertuah kerana perlawanan itu diadakan di laman sendiri dan kami perlu menang tidak kira apa yang berlaku."

    Dalam perlawanan yang menyaksikan Barca kurang mencipta peluang penalti yang kemudiannya hadir selepas berlakunya kekasaran ke atas Sergi Roberto, ia dilihat detik penentuan bagi pasukan pelawat.

    Sebaliknya, penjaga gol Espanyol Diego Lopez tangkas melayangkan badan untuk menepis jauh percubaan Messi.

    Navarro kemudiannya hampir memberikan pasukan tuan rumah gol pendahuluan pada minit ke-83 menerusi sepakan percuma yang bagaimanapun berjaya diselamatkan Jasper Cillessen, sebelum lima minit kemudian membantu jaringan yang memberikan Espanyol kemenangan pertama ke atas Barcelona dalam tempoh hampir sembilan tahun.

    "Kemenangan ini amat penting buat sejarah kelab dan memecah kebuntuan sebelum ini," kata jurulatih Espanyol, Quique Sanchez Flores.

    "Ia menunjukkan sudah terlalu lama sejak kami menewaskan Barcelona dan kini kami berjaya bangkit dan gembira dengannya."

    Sementara itu gol ketiga Diego Costa dalam empat perlawanan belum cukup buat Atletico Madrid ketika Sevilla meledak dua gol pada lewat permainan untuk mengejutkan tuan rumah 2-1 pada aksi pertama di Wanda Metropolitano. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Rekod Barca Lebur Di Tangan Messi "