• Rasuah: Dua kakitangan TM ditahan reman enam hari kes jual kabel

    Reporter: Yusz Man
    Published: Sunday, 14 January 2018
    A- A+


    SEREMBAN - Dua kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) masing-masing berusia 30 dan 29 tahun ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penjualan kabel syarikat itu secara tidak sah di pasaran.

    Kedua-dua suspek yang merupakan Pembantu Pegawai Teknik TM Wilayah Johor Selatan itu terlebih dahulu ditahan SPRM di Ibu Sawat TM, Johor Bahru, Johor antara pukul 4.25 hinga 5.30 petang semalam.

    Mereka disyaki menerima rasuah RM7,650 daripada satu sindiket jual beli kabel sebagai balasan membawa keluar drop fiber berjenama Lite Kabel milik TM dari stor syarikat utiliti itu secara tidak sah.

    Perintah reman keatas mereka dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Negeri Sembilan, Nur Hayatie Mohd. Saini selepas kedua-dua lelaki berkenaan dibawa ke Mahkamah Khas Reman di sini pada pukul 10.30 pagi ini.

    Permohonan tahan reman ke atas suspek dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Negeri Sembilan, Mohd. Khairi Abdul Karim.

    Sementara itu, sumber SPRM memberitahu, kedua-dua suspek yang ditahan itu disyaki menerima rasuah bagi menjual kabel milik TM kepada satu sindiket sejak dua tahun lalu.

    Mereka dipercayai menjadi dalang dalam kegiatan membawa keluar drop fibre berjenama Lite Kabel dari stor syarikat berkenaan dan bersubahat dengan beberapa lelaki lain untuk menjualnya antara tahun 2016 hingga 2017.

    Berikutan penahanan kedua-dua suspek tersebut, SPRM Negeri Sembilan sehingga kini telah memberkas sembilan individu bagi membantu siasatan kes rasuah itu yang mengakibatkan TM kerugian antara RM4 juta hingga RM6 juta.

    Pada Rabu lalu, SPRM Negeri Sembilan menahan tiga suspek berusia 30 hingga 47 tahun yang merupakan pengarah syarikat, ahli perniagaan dan juruteknik membabitkan kes tersebut.

    Empat lagi suspek melibatkan tiga juruteknik dan seorang pembantu makmal di sebuah sekolah di Johor berusia 23 hingga 32 tahun yang ditahan di beberapa lokasi di negeri ini kira-kira pukul 8 malam kelmarin.

    Kesemua mereka diberkas susulan penahanan sembilan individu termasuk kakitangan TM di Kuala Lumpur kerana mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu kepada TM untuk membawa keluar kabel milik syarikat utiliti itu. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Rasuah: Dua kakitangan TM ditahan reman enam hari kes jual kabel "