• Rangsang Kemajuan Pesisir

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+

    MUKAH: Hampir 10 tahun beroperasi, kewujudan loji peleburan aluminium milik Press Metal Berhad, di sini membawa banyak perubahan terhadap landskap sosioekonomi di Sarawak, khususnya di pesisir negeri.

    Muncul sebagai antara kemudahan terbesar seumpamanya di dunia, kewujudan loji itu turut membuka banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan, termasuk melahirkan sumber tenaga kerja mahir, selain membantu memperkukuhkan prestasi eksport negeri.

    Syarikat berkenaan yang dibangunkan anak tempatan, antara pelabur terawal menanam modal di wilayah tengah negeri ini selepas Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dilancarkan kerajaan negeri.

    Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Press Metal Berhad, Dr Soh Siew Ong, berkata dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam industri itu, syarikatnya antara pengeluar aluminium terbesar dan terkemuka dunia.

    Katanya, lebih membanggakan apabila produk keluaran syarikat itu, yang dihasilkan di lojinya di Mukah dan Samalaju, Bintulu, kini menguasai hampir separuh dari pasaran aluminium dunia.

    "Di Mukah, kilang kita memiliki kapasiti pengeluaran sehingga 120,000 tan metrik aluminium setahun, selain kapasiti pengeluaran sekali ganda di loji peleburan di Samalaju.

    "Kita berbangga dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan, selain melatih mereka untuk menjadi sumber tenaga kerja mahir dalam mendokong misi menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030," katanya, di sini hari ini.

    Melalui pelaburan RM1 bilion oleh syarikat berkenaan, pelbagai perubahan dapat dilihat di Mukah dan kawasan pesisir berhampiran.

    Antaranya, Mukah dulu hanyalah pekan kecil yang dikenali dengan perikanan, kini muncul sebagai antara kawasan industri.

    Siew Ong berkata, pihaknya komited dalam membantu agenda pembangunan di negeri ini seiring dengan kedatangan gelombang Revolusi Industri 4.0.

    "SCORE amat penting bagi kita, malah ia cukup sinonim dengan syarikat ini," katanya.

    Katanya, syarikat itu merancang projek pembesaran kedua-dua loji peleburannya bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran mencecah 760,000 tan metrik setahun pada masa depan.-BHOnline
  • No Comment to " Rangsang Kemajuan Pesisir "