• Rangsang anak tiri, warga emas mengaku tidak bersalah

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 24 January 2018
    A- A+


    AYER KEROH: Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas kesalahan merangsang anak tirinya 17 tahun lalu.

    Tertuduh yang berusia 66 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merangsang anak perempuan tirinya yang ketika itu berusia lapan tahun, kira-kira jam 8.30 malam di sebuah rumah di Tanjung Kling, Melaka Tengah pada 19 Ogos 2001.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun penjara dan boleh dikenakan sebatan mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan.

    Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi mencadangkan tiada sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana lelaki itu hanya berjaya ditangkap kelmarin dan khuatir tertuduh akan melarikan diri serta cuba mengganggu saksi pendakwaan.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan dibenarkan ke atasnya dengan alasan pernah ditangkap pada 2001 dan dilepaskan dengan jaminan polis.

    Dia juga mendakwa tidak mengetahui mempunyai waran tangkap sejak Mac 2002 kerana masih menetap di alamat yang sama, selain tidak mempunyai pekerjaan tetap.

    Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, namun jaminan itu boleh ditarik balik serta-merta jika tertuduh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 21 Februari ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Rangsang anak tiri, warga emas mengaku tidak bersalah "