• Rambutan Anak Sekolah: Dari Sri Aman Ke Eropah

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 1 January 2018
    A- A+


    SEJAK sembilan tahun lalu kehidupan penduduk tiga rumah panjang iaitu Helary Nyelam, Nimong Empelanjau dan Sepitson di Sri Aman, kira-kira 200 kilometer dari Kuching, bertambah sibuk.

    Dibantu Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) rambutan Anak Sekolah atau varieti R191 diusahakan mereka dan mula mengeluarkan hasil sejak 2008 kini mendapat permintaan tinggi untuk pasaran domestik dan eksport.

    FAMA yang ditubuhkan bertujuan menyelia, menyelaras, mengawal setia dan memajukan pemasaran keluaran pertanian negara termasuk pengimportan dan pengeksportan terus mengintai peluang memasarkan hasil tani penduduk tiga rumah panjang tersebut khususnya ke luar negara.

    Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Timbalan Pengarah (Operasi) FAMA Sarawak, Abdul Jaafar Lian berkata hasil usaha keras pihaknya berjaya mengeksport rambutan Anak Sekolah ke China, Dubai dan Eropah.

    Katanya rambutan Anak Sekolah mempunyai buah agak bulat dan kulit berwarna merah, isinya pejal, sederhana manis dan tidak berair sesuai untuk pasaran eksport serta mempunyai peminat sendiri.

    “Rambutan Anak Sekolah daripada Sri Aman mula menembusi pasaran antarabangsa pada 2015. FAMA telah mengeksport sebanyak 800 kilogram ke Dubai dan 900 kilogram ke Belanda pada tahun tersebut manakala pada tahun 2016 sebanyak 700 kilogram dieksport ke China,” katanya.

    Abdul Jaafar berkata rambutan Anak Sekolah turut mempunyai peminat di Eropah, kebiasaannya permintaan tinggi adalah sebelum sambutan Krismas.

    “Bagaimanapun tahun lepas (2017) musim rambutan berlaku selepas perayaan Krismas jadi kita menjangkakan mula mengeksport pada bulan ini (Januari 2018),” katanya.

    Menurutnya musim rambutan Anak Sekolah di negeri ini baru bermula kira-kira seminggu lalu dan dijangka berakhir pada penghujung Januari ini.

    “Selain pasaran antarabangsa, FAMA juga memasarkan rambutan ini ke beberapa lokasi lain dalam negara. FAMA hantar sebanyak tiga tan ke Semenanjung, penghantaran dibuat tiga kali seminggu iaitu Isnin, Rabu dan Khamis.

    “Selain itu, ia juga dihantar ke Miri, Bintulu dan Sabah,” katanya sambil menambah FAMA Sarawak telah membeli 250,587 kilogram rambutan Anak Sekolah daripada Sri Aman dalam tempoh 2008 hingga 2016 untuk dipasarkan.

    Abdul Jaafar berkata penanaman rambutan varieti itu di tiga kawasan rumah panjang itu diusahakan secara teratur membabitkan kawasan seluas 48 hektar.

    “Rumah Nimong dan Rumah Sepitson juga memiliki persijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) bagi memastikan produk yang dikeluarkan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

    “Rumah Helary pula dijangka memperolehi myGAP tahun ini (2017),” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Rambutan Anak Sekolah: Dari Sri Aman Ke Eropah "