• Ramai Pekebun Kecil Dan Penoreh Tak Mohon Bantuan

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Seramai 158,575 pekebun kecil dan penoreh getah masih belum memohon Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang tarikh akhirnya 31 Januari ini.

    Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Operasi, Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dr Suarni Sumormo, berkata seramai 500,730 pekebun kecil dan penoreh didaftarkan dalam pangkalan data BMT pada 30 September lalu dan 483,941 layak memohon bantuan.

    "Sehingga 9 Januari 2018, seramai 325,366 pekebun kecil dan penoreh sudah menerima BMT, termasuk 29,03 orang pekebun yang memiliki kebun belum matang.

    "Daripada jumlah yang layak itu, seramai 158,575 pekebun kecil dan penoreh getah belum membuat permohonan.

    "LGM menyeru kepada mereka yang layak tetapi belum memohon supaya segera membuat permohonan selewat-lewatnya 31 Januari ini," katanya pada sidang media di Bangunan Getah Asli, hari ini.

    Suarni berkata, BMT diumumkan pada Bajet 2017 membabitkan pemberian sebanyak RM200 sebulan yang akan dibayar pada selama tiga bulan bermula November 2017 hingga Januari 2017 membabitkan peruntukan berjumlah RM261 juta.

    BMT diberikan bertujuan memastikan kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah terpelihara ketika musim tengkujuh.

    Katanya, sepanjang musim tengkujuh, tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu paling terkesan kerana pekebun kecil dan penoreh tidak dapat menoreh.

    Dengan adanya bantuan BMT, ia dapat meringankan beban yang ditanggung oleh pekebun kecil dan penoreh getah yang terkesan kerana tidak dapat menoreh dan memperoleh hasil.

    Bagi yang belum membuat permohonan ia boleh dilakukan dengan memohon secara dalam talian menerusi http//bmt.lgm.my/Home/Application.

    Permohonan juga boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih LGM BMT yang dimuat naik daripada Google Play Store atau menghantar borang BMT di mana-mana pejabat LGM Wilayah/Negeri.- BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Ramai Pekebun Kecil Dan Penoreh Tak Mohon Bantuan "