• Rakyat Malaysia Suka Tempat Kerja Daripada Rumah

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia menghabiskan lebih banyak masa di tempat kerja daripada di rumah namun mereka masih gembira. Kenapa?

    Kaji selidik laman JobStreet.com mendapati Malaysia menduduki tempat keempat daripada tujuh negara di rantau ini untuk pekerja yang gembira berada di tempat kerja.

    Pengurus negara JobStreet.com, Chook Yuh Yng berkata Malaysia merekodkan 4.65 pada skala 10 mata.

    “Daripada 10,143 pekerja Malaysia yang ditinjau pendapat mereka, 58 peratus daripada mereka dilaporkan gembira dengan kerja mereka.

    Kami telah melakukan penambahbaikan daripada tahun lepas, kami lihat perkembangan ini sebagai trend positif namun masih ada ruang untuk diperbaiki,“ katanya kepada pemberita pada Media Coffee Talk: Job Happiness Index 2017 di sini hari ini.

    Chook berkata kaji selidik itu menunjukkan lokasi kerja yang selesa, hubungan baik dengan rakan sekerja dan reputasi syarikat adalah tiga faktor utama yang mempengaruhi perasaan gembira mereka dengan pekerjaan.

    Beliau berkata pertimbangan utama pekerja Malaysia untuk meningkatkan kegembiraan dalam pekerjaan termasuk kenaikan gaji dan pengiktirafan syarikat.

    Sebaliknya, beliau berkata kepimpinan yang lemah, kekurangan pembangunan kerjaya dan peluang latihan yang disebut oleh responden sebagai tiga faktor utama yang menyumbang kepada perasaan tidak gembira dengan pekerjaan.

    “Untuk memupuk keyakinan lebih besar dalam kepimpinan syarikat, majikan harus mempraktikkan ketelusan dalam berkomunikasi, pada masa yang sama, menjadualkan program penambahbaikan kemahiran berkala untuk melibatkan diri dan mengekalkan bakat yang terbaik,” katanya.

    Hasil kaji selidik itu juga menunjukkan pekerja Malaysia yang bekerja dalam perkhidmatan awam, makanan dan minuman dan industri perubatan adalah yang paling gembira.

    Bagi menghuraikan mengenai pengkhususan, pekerja yang paling gembira ternyata seorang yang mengkhusus dalam jualan (Telejualan/Telepemasaran), kejuruteraan (Kejuruteraan Elektrik dan Awam) dan penjagaan kesihatan (jururawat, penolong dan sokongan perubatan).

    Kaji selidik itu meletakkan kedudukan pekerja dari Indonesia sebagai pekerja paling gembira dengan indeks 5.27, kedua Vietnam (5.19), ketiga Filipina (4.97), kelima Thailand (4.55), keenam Hong Kong (4.45) dan ketujuh Singapura (4.31) – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Rakyat Malaysia Suka Tempat Kerja Daripada Rumah "