• Rahman Dahlan Nafi Dakwaan Tun M

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+

    HULU KELANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh UMNO mendalangi kempen memboikot Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menerusi undi rosak.

    Abdul Rahman berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali memandangkan kumpulan yang menggerakkan kempen terbabit terdiri daripada penyokong pembangkang yang kini kecewa dan hampa dengan mereka.

    "Kebanyakan yang merasa tidak mahu keluar mengundi atau membuat undi rosak bukan menyokong Barisan Nasional (BN).

    "Penyokong BN masih mahukan parti ini kekal menjadi kerajaan, jadi dia akan keluar mengundi.

    "Mereka yang tak akan keluar mengundi dan membuat undi rosak ini adalah yang menyokong pembangkang tapi kecewa kerana (pembangkang) sudah jadi cacamarba sekarang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

    Beliau mengulas dakwaan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang menuduh kumpulan yang mempromosi kempen boikot PRU-14 kebanyakannya datang daripada UMNO.

    Dr Mahathir dilaporkan berkata, kempen yang digerakkan beberapa aktivis muda berhaluan kiri itu hanya menguntungkan UMNO.

    Kempen memboikot PRU-14 mula tular di media sosial, khususnya Facebook dengan menggunakan tanda pagar #undirosak selepas pakatan pembangkang mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri jika mereka berjaya merampas Putrajaya daripada BN.

    Abdul Rahman yang tidak bersetuju dengan kempen itu berkata, rakyat perlu keluar mengundi dan menggunakan hak mereka untuk memilih kerajaan.

    "Kami mahu mereka keluar mengundi dan gunakan hak menentukan kerajaan, tapi jika mereka enggan mengundi, itu juga adalah hak mereka," katanya.

    Ditanya mengenai tindakan Dr Mahathir memperlekehkan graduan universiti yang menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber, Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik BN berkata: "Saya tak mahu balas kenyataan orang berusia 93 tahun yang melodramatik." - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Rahman Dahlan Nafi Dakwaan Tun M "