• Qody Tumpang Tuah 'Kekasih Paksa Rela'

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kehangatan drama 'Kekasih Paksa Rela' yang kini menemui penonton Akasia, TV3, turut memberi tuah kepada naib juara Mentor Milenia 2016, Qody.

    Naskhah lakonan Remy Ishak dan Intan Najuwa itu turut menjadikan single kedua penyanyi terbabit, Dia, sebagai sebahagian lagu yang melatari penceritaannya.

    Populariti drama berkenaan sedikit sebanyak menaikkan sama nama bekas protege Black ini apabila penggemarnya turut memberikan perhatian kepada lagu dendangannya itu.

    Ketika ini, video muzik Dia nyanyian artis naungan Monkey Bone ini sudah ditonton hampir 500,000 kali di YouTube.

    "Ketika rakaman lagu Dia dilakukan, saya mengalami Guillain-Barre syndrome hingga muka lumpuh dan sukar untuk menyanyi. Apabila ia siap dirakam sekitar Jun tahun lalu pula, bapa komposer lagu ini, Ippo Hafiz, dimasukkan ke hospital hingga apa yang dirancang tergendala.

    "Akhirnya, selepas apa yang dilalui, saya bersyukur apabila Dia turut menjadi pilihan drama Kekasih Paksa Rela, sekali pun hanya sebagai sisipan.

    "Bagai ada hikmah di sebalik apa yang saya lalui, lagu itu banyak digunakan untuk drama terbabit. Jadi saya hanya mampu memanjat kesyukuran atas segala kesempatan ini," kata Qody atau nama sebenarnya Rossaidi Abdul Rani.

    Dedah Qody, 23, jika mengikut perancangan, single itu hendak dijadikan runut bunyi drama Dia lakonan Janna Nick dan Irwansyah yang menemui penonton tidak lama dahulu.

    "Begitupun, atas beberapa sebab, ia sekadar menjadi lagu sisipan drama terbabit," ujarnya.

    Anak jati Pulau Tuba, Langkawi, ini juga tidak kisah andai dirinya digelar penyanyi lagu runut bunyi drama.

    "Single pertama saya, Biar Aku, ciptaan Edry Abdul Halim turut menghiasi drama Papa Ricky.

    "Bagi saya, jika lagu kurang dimainkan di radio, televisyen juga mampu menjadi medium terbaik bagi mempromosikan lagu seseorang penyanyi," katanya yang dijangka muncul dengan single ketiga, bulan depan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Qody Tumpang Tuah 'Kekasih Paksa Rela' "