• Putus Cinta, Gadis Upah Orang Rakam 'FB Live' Bunuh Diri

    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+

    Seorang wanita Thailand, yang dipercayai kecewa selepas putus cinta dengan teman lelakinya bertindak menyiarkan rakaman bunuh diri menerusi siaran langsung Fabebook (Facebook Live) di Jambatan Rama, Bangkok.

    Memetik The Nation, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Selasa lalu, gadis berusia 18 tahun itu bertindak terjun dari Jambatan Rama, dipercayai mahu membunuh diri akibat masalah cinta.

    Bagaimanapun, sehingga jam 4 petang kelmarin, pihak polis masih belum menemui mayat mangsa atau mengesahkan sama ada gadis itu meninggal dunia atau terselamat.

    Berdasarkan siasatan polis, mangsa yang dikenali sebagai Nitaya dikatakan mengupah seorang lelaki untuk merakam videonya, sebelum menyiarkan di laman Facebooknya pada jam 2 pagi.

    Menerusi rakaman tersebut mangsa dilihat dalam keadaan mabuk, dan turut menyanyikan lagu 'perpisahan', lapor The Nation lagi.

    Mangsa kemudian dilihat memanjat penghadang jambatan tersebut, dan berada di bahagian luar lalu secara tiba-tiba terjun ke dalam Sungai Chao Phraya.

    Difahamkan, lelaki yang diupah untuk merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit kedengaran menjerit kerana terkejut dengan tindakan mangsa terjun dari jambatan sebelum dia menghentikan siaran langsung berkenaan.

    Menurut polis peronda, kejadian tersebut diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh diri berdasarkan penemuan sebotol minuman keras, telefon bimbit dan kad ID mangsa.

    Polis menambah, gadis itu yang dalam keadaan sedih dan menangis telah memuji pemandu teksi motosikal di Soi Nakniwat 30 itu kerana membawanya ke jambatan tersebut.

    Kata polis, gadis itu menawarkan wang tambahan sebanyak Bt500 (RM61) kepada lelaki terbabit supaya duduk bersamanya di lokasi kejadian dan merakam 'Facebook Live'.

    Sementara itu, lelaki terbabit memberitahu polis bahawa Nitaya seolah-olah sedang kecewa dengan hubungan cintanya, namun tidak memaklumkan apa-apa mengenai rancangan mahu membunuh diri.

    Dia berkata dia melihat mangsa jatuh dan terkapai-kapai di dalam air sebelum tenggelam.

    Sehingga kini, polis masih berusaha mencari mayat mangsa.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Putus Cinta, Gadis Upah Orang Rakam 'FB Live' Bunuh Diri "