• Puteri Hadiah Buat Siti, Datuk K

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Sempena hari lahirnya yang ke-39, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengesahkan jantina anak dikandungnya, perempuan.

    Melalui video yang dikongsinya di Instagram, Siti bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa mengumumkan bakal melahirkan anak perempuan.

    "Hadiah yang paling bermakna untuk Siti kali ini adalah zuriat yang bakal dilahirkan. InsyaAllah, apa yang dinanti-nanti selama ini, akan menjadi kenyataan. Selama 11 tahun menanti, doa Siti dan suami akhirnya dimakbulkan.

    "Doktor mengesahkan kandungan Siti adalah puteri. Doakan semoga puteri kami akan sihat sempurna dan menjadi anak solehah... InsyaAllah. Doakan semua akan selamat nanti," kata Siti yang sedang bercuti di Singapura bersama keluarga.

    Tambah Siti, tanggungjawab yang bakal disempurnakan bukanlah tugas mudah.

    "Sebab itulah, Siti hargai pengorbanan ibu. Jadi Siti ucapkan jutaan terima kasih sempena kelahiran hari ini buat ibu tersayang. Selalunya kalau hari lahir, orang ingat empunya diri.

    "Sebaliknya, kita patut ingat ibu kita yang bertarung nyawa untuk melahirkan Siti. Juga kepada arwah ayah. Tak ada mereka... tak wujudlah Siti Nurhaliza di muka bumi ini.

    "Siti bersyukur juga pada usia 39 tahun, Allah beri banyak keberkatan dan keistimewaan. Siti akan sentiasa mengingatkan diri untuk bersyukur dengan semua nikmat ini," katanya.

    Sejak pagi tadi, sempena ulang tahun kelahiran Siti hari ini, beberapa stesen radio menyediakan segmen khas dengan memutarkan lagu dendangannya.

    Stesen itu adalah Hot FM, Kool FM, Era FM, Gegar FM, Sinar FM, Suria FM, Best FM.

    Siti dan suaminya bernikah pada 21 Ogos 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Puteri Hadiah Buat Siti, Datuk K "