• Pukul Ibu: Pemotong Rumput Dipenjara Tujuh Tahun, Tiga Sebatan

    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+

    KUANTAN – “Saya nak jumpa emak sebelum menjalani hukuman, saya nak minta maaf,” itu rayuan seorang pemotong rumput selepas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan mencederakan ibu kandungnya pada Khamis lalu.

    Sebelum prosiding dimulakan, tertuduh Mohd Rafi Ab Aziz, 25, yang memakai jaket berwarna kelabu dengan keadaan tangan bergari sebelum itu kelihatan tercari-cari seorang ketika dibawa masuk oleh anggota polis pengiring ke dalam Mahkamah Sesyen 4.

    Sebaik pertuduhan dibacakan, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencederakan ibunya Mea’ah Abd Majid, 64, dengan cara menghentak kepala mangsa menggunakan batang besi mesin pemotong rumput di sebuah rumah di Bukit Sagu 1 pada kira-kira 5 petang, 4 Jan lepas.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

    Sebelum hukuman dijatuhkan oleh Hakim Siti Aminah Ghazali, Mohd Rafi merayu bagi hukuman lebih ringan memandangkan dia menghidap penyakit angin pasang selain perlu menanggung ibunya.

    Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Haryati Abdullah memohon kepada mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal memandangkan mangsa merupakan ibu kandung tertuduh sendiri dan terpaksa menerima tiga jahitan di bahagian kanan kepala dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

    “Pada hari kejadian tertuduh meminta wang daripada ibunya, namun apabila tidak diberikan tertuduh telah mengamuk dan membaling barang ke arah ibunya, namun mangsa berjaya mengelak.

    “Tidak puas hati dengan keadaan itu, tertuduh mengambil pula mesin pemotong rumput dan memukul ibunya dengan batang besi mesin berkenaan dan saya tidak rasa tertuduh yang menanggung ibunya kerana setiap bulan dia yang meminta duit dari mangsa.

    “Sehubungan itu, tertuduh wajar dijatuhi hukuman berat untuk dijadikan pengajaran kepada yang lain,” katanya.

    Tertuduh, selepas prosiding berkenaan beberapa kali menyuarakan rasa menyesal atas perbuatan yang dilakukan itu dan kelihatan sebak apabila dimaklumkan bahawa emaknya tidak dapat hadir kerana masih kurang sihat. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pukul Ibu: Pemotong Rumput Dipenjara Tujuh Tahun, Tiga Sebatan "