• Pukul Gelandangan Sampai Mati “Kerana Rasa Ia Lucu”

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 17 January 2018
    A- A+

    Dua remaja dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Maidstone Crown, United Kingdom pada Selasa selepas didapati bersalah membunuh seorang gelandangan dalam serangan yang disifatkan oleh suspek sebagai “melucukan”.

    Memetik Metro.uk, mangsa, Razvan Sirbu, 21, ditinggalkan dalam kecederaan seirus dengan patah pada bahagian tengkorak, tulang muka serta rusuk selepas suspek, Charlie White dan Alex Macdonald menyerang lelaki itu tanpa provokasi menggunakan pisau pemotong daging.

    Mayat Sirbu ditemui anjing pengesan di kawasan hutan di Maidstone pada 7 Mei tahun lalu, berhampiran sebuah khemah yang telah dirosakkan, yang merupakan tempat tinggal gelandangan itu.

    Mangsa (gambar bawah) meninggal dunia akibat dipukul secara kejam menggunakan objek tumpul di bahagian kepala dan badan.

    Seorang ahli neuropatologi yang memeriksa bahagian otak Sirbu percaya bahawa mangsa hanya terselamat kira-kira 30 minit selepas serangan ganas itu.

    Pihak berkuasa berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taman papan selaju memaparkan pakaian berwarna putih dipercayai dipakai semasa insiden pembunuhan itu dibakar dan beberapa imej yang menunjukkan Macdonald dan tertuduh ketiga, James Buckley melakukan serangan tersebut.

    Polis turut menemui kesan darah pada hud berwarna kelabu yang dirampas dari sebuah karavan di lokasi Macdonald ditahan.

    Pihak penyiasat juga menemui perbualan antara Macdonald dan White, yang mana suspek berkata dia terus-menerus memukul muka mangsa kerana merasakan perkara itu "melucukan".

    White dan Macdonald, kedua-duanya dari Maidstone, menafikan melakukan pembunuhan itu namun hakim memutuskan mereka bersalah.

    Polis Kent berkata mahkamah memutuskan kedua-dua suspek itu yang berusia 19 tahun dipenjarakan masing-masing sekurang-kurangnya 16 dan 18 tahun.

    Sementara seorang lagi tertuduh, Buckley, 20, juga didakwa atas tuduhan membunuh tetapi dianggap ‘tidak layak untuk mengaku’.

    Hakim mendapati dia juga terlibat dalam pembunuhan Sirbu dan akan dijatuhi hukuman pada tarikh yang akan ditetapkan nanti. - MalaysiaDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Pukul Gelandangan Sampai Mati “Kerana Rasa Ia Lucu” "