• PRU14: Rundi Yakin BN Sarawak Dapat Pertahan 25 Daripada 31 Kerusi

    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata beliau yakin BN akan dapat mempertahankan 25 daripada 31 kerusi Parlimen yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

    Memetik laporan Utusan Borneo, menurutnya, BN mampu merampas kembali beberapa kerusi yang jatuh ke tangan pembangkang pada PRU sebelum ini, ujarnya.

    “Kita (BN Sarawak) sudah bersedia sepenuhnya atau boleh dikatakan pada ‘gear lima’ sekarang dan yakin dapat mengekalkan kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU13 lalu.

    “Pada masa sama bekerja keras untuk memenangi kembali beberapa kerusi yang jatuh ke tangan pembangkang sebelum ini,” katanya.

    Beliau memberitahu, ‘tugas’ BN kali ini tidak semudah disangkakan malah harus perlu lebih bekerja keras dan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan jumlah kerusi dimenangi pada PRU13 (2013).

    Dr Rundi yang juga setiausaha agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Menteri Utiliti berkata jentera pilihan raya BN juga sudah mula turun padang mendekati rakyat dan pengundi di peringkat akar umbi.

    Terdahulu, pada PRU13, BN Sarawak memenangi 25 kerusi Parlimen, enam lagi jatuh ke tangan pembangkang iaitu lima milik Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) satu.

    Enam kerusi yang menjadi milik pembangkang ialah Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu (DAP) dan Miri (PKR). - Sarawakiana 
  • No Comment to " PRU14: Rundi Yakin BN Sarawak Dapat Pertahan 25 Daripada 31 Kerusi "