• Projek Cegah Keganasan Terhadap Wanita Dilancar Di Vietnam

    Published: Wednesday, 17 January 2018
    A- A+


    HANOI - VIETNAM. Satu projek bagi mencegah keganasan terhadap wanita dan menyediakan konsultasi kepada mangsa keganasan berasaskan jantina telah dilancarkan di sini pada Selasa, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

    Projek itu, ‘Pembinaan sebuah model sokongan sebagai respons kepada dan bagi mencegah keganasan terhadap wanita serta kanak-kanak perempuan di Vietnam dan konsultasi mengenai perkhidmatan penting untuk mangsa keganasan berasaskan jantina,’ telah dilancarkan oleh Kementerian Buruh, Orang Kurang Upaya dan Hal Ehwal Sosial (MOLISA) Vietnam bersama-sama Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Korea (KOICA).

    Bercakap pada majlis itu, Timbalan Menteri Buruh, Orang Kurang Upaya dan Hal Ehwal Sosial, Doan Mau Diep berkata sejak beberapa tahun lepas, kerajaan Vietnam telah berusaha keras dalam memastikan kesaksamaan jantina serta mencegah keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

    Bulan tindakan nasional untuk kesaksamaan jantina dan pencegahan serta kawalan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, yang dianjurkan setiap tahun dari 11 November hingga 11 Disember, telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.

    Bagaimanapun, Diep berkata masih terdapat beberapa halangan berikutan kekurangan perkhidmatan konsultasi dari segi psikologi, perundangan dan kesihatan selain pekerja di lapangan.

    Beliau mengucapkan terima kasih kepada UNFPA dan KOICA atas bantuan mereka dan menekankan bahawa pelancaran projek itu menandakan kerjasama tiga organisasi ke arah masyarakat bebas keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

    Presiden KOICA Lee Mi-kyung berkata keganasan berasaskan jantina kekal sebagai masalah besar di negara membangun dan maju, yang mempengaruhi wanita dari latar belakang sosioekonomi berbeza.

    Beliau berkata keganasan bukan hanya mempunyai kesan yang serius terhadap mangsa malah ke atas pembangunan negara.

    Lee Mi-kyung turut mengesahkan bahawa projek itu akan membantu melindungi hak wanita dan mempromosi kesaksamaan jantina serta mempertingkat kerjasama antara Korea Selatan dan Vietnam.

    Projek itu mempunyai bajet berjumlah AS$2.56 juta bagi tempoh 2018 hingga 2020, yang mana sejumlah AS$2.5 juta telah disumbangkan oleh KOICA dan UNFPA.

    Di bawah projek itu, sebuah pusat sokongan untuk mangsa keganasan, terutama keganasan seksual, akan dibina di utara wilayah Quang Ninh di mana pekerja lapangan bakal menerima lebih banyak latihan dan kempen berbeza, yang dianjurkan di beberapa wilayah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan keganasan terhadap wanita. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Projek Cegah Keganasan Terhadap Wanita Dilancar Di Vietnam "